Oleh : Noraini Aminuddin dan Emilda Hashim
Gambar oleh: JK Media Kursus PEA3103
BATU KURAU, 25 Mei 2025 – Seramai 25 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada Kursus Ekonomi Pengurusan (PEA3013), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menjayakan Program Bakti Madani: Pemantapan Sahsiah (Pendekatan Ekonomi Pengurusan) yang berlangsung selama empat hari, bermula 22 hingga 25 Mei 2025 di Sekolah Kebangsaan Sungai Ara, Batu Kurau, Perak.
Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan experiential learning dan outcome based learning (OBE) yang berpusatkan pelajar (student-centered learning), yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan teori ekonomi pengurusan yang dipelajari dalam suasana sebenar berbentuk khidmat masyarakat.
Menurut Penasihat Program, Emilda Hashim, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyemai nilai kepimpinan dan sahsiah dalam kalangan murid sekolah rendah, malah berfungsi sebagai latihan praktikal yang sangat berguna buat para pelajar universiti.
“Program ini mendidik mahasiswa untuk lebih bertanggungjawab dan profesional dalam mengurus sesuatu organisasi serta memperkukuh kemahiran komunikasi, membuat keputusan kritis dan kerjasama berpasukan. Ini selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani yang menekankan integriti, disiplin, dan kemasyarakatan,” jelas beliau.



Antara objektif utama program ini adalah untuk membentuk mahasiswa yang berdisiplin dan berintegriti, selain meningkatkan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti tempatan. Pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dianjurkan, termasuk ceramah motivasi, bengkel sahsiah, aktiviti berkumpulan, serta program kerohanian bersama murid dan penduduk kampung.
Program ini merupakan dwi program yang berjalan serentak dengan Program Jaringan Kem Bakti Madani: Kem Integrasi Pemimpin Cilik Peringkat Kebangsaan anjuran Sekolah Kebangsaan Sungai Ara, Batu Kurau dengan kerjasama Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi dan German Malaysia Institute. Program turut melibatkan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang dan Selama, Penghulu Mukim Batu Kurau, JPKK Kampung Sungai Ara, Masjid Kampung Sungai Ara, dan Pusat Sumber Desa Kampung Sungai Ara.
Menurut wakil jawatankuasa pelaksana, sambutan yang terdiri lebih dari 28 buah sekolah Zon Utara dan komuniti amat memberangsangkan, malah 120 orang murid-murid yang terlibat juga menunjukkan keterujaan dan penglibatan aktif sepanjang program berlangsung.
“Kami amat menghargai kerjasama semua pihak yang membantu menjayakan program ini. Kami juga berharap agar pihak universiti dapat terus menyokong inisiatif seumpama ini termasuk dari segi dana dan kelulusan rasmi,” tambahnya.
Program Bakti Madani bukan sahaja menjadi wadah untuk mahasiswa menimba pengalaman praktikal, malah mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat dalam usaha membina masyarakat yang berdaya saing dan berakhlak mulia.

