Oleh: Norasibah Abdul Jalil dan Norimah Rambeli @ Ramli
Gambar: Nurnabila Abdul Rahim
Gunung Besout, 10 Disember 2025 – Program Pemindahan Ilmu (KTP) bertajuk Kenali dan Kendali Stres yang digabungkan dengan program SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) yang dilaksanakan melalui program Jalinan Komuniti telah berjaya dilaksanakan di Balai Raya Gunung Besout 04, Daerah Muallim.
Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan komuniti setempat yang melibatkan wakil penduduk Gunung Besout04 yang diketuai oleh Pengurus FELDA Gunung Besout 04, Hasnan Afendi Abd Ghani, serta Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelbagai Kaum Perak, Shahhaiza Md Khir.



Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Slim), Mohd Zaidi Aziz.
Dalam teks ucapannya, beliau mengalu-alukan kedatangan ahli masyarkat setempat serta merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada warga UPSI serta kesudian menganjurkan program di Felda Gunung Besaout 4. Beliau turut menyeru agar lebih banyak program diadakan dimasa-masa akan datang.
Seterusnya, selepas upacara perasmian aktiviti-aktiviti lain turut dilaksanakan melalui program jalinan komuniti iaitu SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dengan kerjasama Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), UPSI).
Bagi tujuan tersebut, seramai 50 orang pelajar dari Jabatan Ekonomi telah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat, diantaranya adalah sesi perkongsian ilmu oleh wakil pelajar yang bertajuk Tangani Streskonomi, program pertandingan mewarna bersama kanak-kanak istimewa dan aktiviti senaman pengurusan stres yang melibatkan penyertaan komuniti secara menyeluruh.


Secara keseluruhannya, pelaksanaan Program KTP-SULAM ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasakan komuniti melalui pemindahan ilmu, penglibatan aktif pelajar universiti serta penerapan amalan gaya hidup sihat.
Program ini turut mencerminkan komitmen berterusan RMIC dan FPE UPSI bersama komuniti setempat dalam memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat.
Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi memastikan kesejahteraan mental, fizikal dan sosial masyarakat terus diperkasa melalui kerjasama strategik antara university dan komuniti.
