PUTERI NORSALSABILA HUDA ABDUL RAUF & DR AHMAD SAUFFIYAN ABU HASAN

19 December 2025 09:30

Trend mengurangkan atau menghentikan pengambilan gula, atau lebih dikenali sebagai cut sugar, semakin popular dalam kalangan anak muda di Malaysia. Fenomena ini didorong oleh peningkatan kesedaran terhadap gaya hidup sihat, pengaruh media sosial serta pendedahan kepada kandungan berkaitan kesihatan dan kecergasan. Ramai anak muda kini memilih untuk mengelakkan minuman bergula, pencuci mulut dan makanan diproses dengan harapan dapat menurunkan berat badan serta meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Menurut pakar pemakanan, pengambilan gula berlebihan sememangnya boleh menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung. Oleh itu, usaha untuk mengawal pengambilan gula dianggap sebagai langkah positif, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang sering terdedah kepada minuman manis dan makanan segera. Namun begitu, trend cut sugar yang dilakukan secara drastik tanpa pengetahuan yang mencukupi boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Perkara ini dikongsi oleh seorang wanita muda, Siti Maisarah Joha, 22, yang hampir pengsan selepas mengamalkan cut sugar selama tiga hari berturut-turut. Menurut Siti Maisarah, keputusan untuk menghentikan pengambilan gula dibuat selepas melihat perkongsian di media sosial yang mendakwa kaedah tersebut mampu memberi tenaga dan menjadikan badan lebih sihat dalam tempoh singkat.

“Saya berhenti minum air manis dan langsung tak ambil gula. Hari ketiga, badan rasa lemah, kepala pening dan pandangan mula kabur. Saya hampir pitam di tempat kerja,” katanya ketika ditemui. Keadaan tersebut memaksa rakan sekerjanya membawa beliau berehat dan mendapatkan rawatan ringan.

Pakar kesihatan menjelaskan bahawa simptom seperti pening, keletihan dan hampir pitam boleh berlaku apabila tubuh mengalami kekurangan glukosa secara mendadak. Glukosa merupakan sumber tenaga utama bagi otak dan badan. Pengurangan gula secara mengejut, terutamanya bagi individu yang sebelum ini mengambil gula dalam kuantiti tinggi, boleh menyebabkan tubuh terkejut dan menjejaskan fungsi harian.

Walaupun cut sugar sering dikaitkan dengan gaya hidup sihat, pakar menegaskan bahawa pendekatan yang seimbang adalah lebih selamat. Pengurangan gula seharusnya dilakukan secara berperingkat dengan menggantikan gula tambahan kepada sumber karbohidrat kompleks seperti buah-buahan, bijirin penuh dan sayur-sayuran.

Trend kesihatan dalam kalangan anak muda menunjukkan perubahan minda ke arah penjagaan diri yang lebih baik. Namun, kes seperti yang dialami oleh Siti Maisarah menjadi peringatan bahawa setiap perubahan diet perlu disertai dengan pengetahuan dan nasihat pakar. Kesedaran tentang kepentingan keseimbangan pemakanan adalah kunci bagi memastikan usaha ke arah hidup sihat tidak bertukar menjadi risiko kesihatan.