Oleh: Fatin Syahirah Yuni Azuar dan Azrian Mohd Shafiq Juami
TANJUNG MALIM, PERAK, 20 Disember 2025 – Program Cyber Rangers, anjuran subjek KPG3013: Insan Guru Profesional Kumpulan AT20B, telah berjaya dilaksanakan di Kampung Ketoyong, Tanjung Malim, Perak pada hari Sabtu yang lalu. Program ini menyasarkan penglibatan komuniti setempat yang terdiri daripada kanak-kanak, belia dan warga emas bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kewarganegaraan digital dalam kehidupan seharian. Program ini juga sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 iaitu memperbaiki kualiti hidup rakyat melalui pembangunan inklusif dan dinamik.



Program ini diserikan dengan kehadiran Dr. Yusri bin Abdullah, Pensyarah Kursus, Tuan Haji Baharul Kalam bin Haji Zainun, Pengerusi JPKK Kampung Ketoyong, Tuan Raja Mohd Nor bin Raja Daud, Pengerusi JPKK Kampung Berop serta Saudara Muhammad Haziq Izfar bin Ishak, Pegawai Tugas Khas kepada Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasir. Kehadiran para tetamu kehormat ini mencerminkan sokongan padu terhadap usaha kolaborasi antara universiti dan komuniti.



Menurut Dr. Yusri bin Abdullah, “Program ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang penggunaan teknologi secara selamat dan beretika, tetapi juga menekankan kepentingan interaksi antara mahasiswa dan komuniti. Saya berharap pelajar saya dapat memanfaatkan pengalaman ini agar dapat dijadikan bekal ilmu dalam meningkatkan kesedaran digital di kalangan semua peserta serta memupuk semangat tanggungjawab sosial.”



Majlis perasmian seterusnya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Baharul Kalam bin Haji Zainun, yang berharap agar ilmu yang dibawa oleh para pelajar dapat digunakan dan diaplikasikan supaya semua warga Kampung Ketoyong agar mampu menjadi pengguna digital yang berhemah dan selamat. Perasmian tersebut berjaya menyatukan tekad seluruh komuniti Kampung Ketoyong dalam menyokong inisiatif pembangunan masyarakat berteraskan pendidikan digital.



Aktiviti program dibahagikan mengikut kumpulan umur peserta. Aktiviti kanak-kanak dilaksanakan secara interaktif dan menyeronokkan dengan penekanan terhadap aspek keselamatan digital, hak dan tanggungjawab digital serta akses dan literasi digital. Kanak-kanak didedahkan kepada penggunaan peranti dan internet secara selamat melalui aktiviti permainan berunsur pendidikan dan perbincangan ringkas yang mudah difahami.


Aktiviti untuk belia pula menekankan tentang literasi dan keselamatan digital, hak dan tanggungjawab digital, serta etika digital. Peserta turut mengambil bahagian dalam permainan dam ular bertemakan keselamatan digital serta kuiz interaktif melalui platform Blooket, yang membantu mereka memahami konsep kewarganegaraan digital dengan cara menyeronokkan dan kompetitif. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah membentuk sikap bertanggungjawab dan beretika dalam penggunaan teknologi di kalangan belia.
Aktiviti warga emas menekankan literasi digital, komunikasi digital dan keusahawanan digital. Peserta diberikan pendedahan tentang cara menggunakan peranti digital untuk berkomunikasi, mengurus maklumat dan mempromosikan perniagaan secara dalam talian. Aktiviti ini membantu warga emas meningkatkan keyakinan menggunakan teknologi, membuka peluang perniagaan serta membina kemahiran digital yang relevan dalam kehidupan seharian.


Selain aktiviti berbentuk pendidikan, program turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah serta aktiviti rewang menyediakan makan tengah hari antara pelajar KPG3013 dan penduduk kampung. Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah mewujudkan suasana harmoni dan mesra dalam kalangan peserta.
Saudara Muhammad Haziq Izfar bin Ishak dalam ucapan penutupnya menyatakan bahawa program seperti ini mampu menyemarakkan harapan masa depan komuniti dalam menghadapi cabaran dunia digital. Beliau turut menegaskan bahawa literasi digital merupakan elemen penting dalam pembangunan modal insan sejajar dengan aspirasi negara.
Secara keseluruhan, program Cyber Rangers ini diharapkan dapat memberi impak positif dengan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kewarganegaraan digital, menggalakkan penglibatan aktif dalam ekosistem digital yang selamat dan inklusif, serta menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 dalam bidang pembangunan modal insan dan digitalisasi, sejajar dengan matlamat negeri untuk membina masyarakat celik digital yang berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia.
