OLEH: NURUL AINA NAJWA BINTI AHMAD & DR. AHMAD SAUFFIYAN BIN ABU HASAN

Individu yang selalu berada di sisi kita, tidak kira di mana jua itu dikenali sebagai kawan. Mereka adalah kawan sekiranya mereka selalu bersama kita sepanjang kita bekerja, bersekolah atau di mana sahaja. 

Berkawan mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih baik. Hal in dikatakan demikian kerana dengan berkawan, kita dapat membentuk peribadi kita. Oleh itu, carilah kawan yang baik. 

Antara ciri kawan yang baik adalah mereka yang setia, setia dari segi sentiasa ada apabila kawan lain memerlukan bantuan. Kawan yang baik akan sentiasa ada dikala susah dan senang. 

Selain itu, mereka yang menepati janji. Orang yang menepati janji atau ingat pada janji yang diperkatakan adalah sosok yang menganggap orang yang dijanji itu penting dalam hidupnya. Oleh itu, kawan yang baik pasti ingat janji yang dibuat dengan kita. 

Kawan yang mempunyai sifat empati yang tinggi merupakan salah satu ciri kawan yang baik. Sifat empati yang ada dalam diri seseorang akan mendorong orang lain untuk berasa selesa dengannya. Biar kita ambil satu contoh iaitu pendengar yang baik. 

Akhir sekali dan yang paling penting, mereka yang ikhlas serta jujur untuk berkawan dengan kita. Jujur dalam sesuatu perkara itu susah tapi boleh terjadi sekiranya kita memang betul-betul ikhlas dengan hubungan tersebut. 

Kawan yang memenuhi semua atau 80% daripada ciri yang disenaraikan, mereka boleh digelar sebagai ‘Kawan dari Syurga’. Hanya kawan yang baik boleh dianggap sebagai kawan dari syurga.

Antara kesan mempunyai kawan yang baik adalah kesihatan mental kita terjaga. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya kawan, kita dapat meluah dan mendengar masalah masing-masing serta mendapatkan pendapat mereka dalam sesuatu hal yang tidak dapat kita selesaikan sendiri.

Selain itu, kita dapat berubah kearah yang lebih baik. Biar kita ambil contoh, terdapat seorang kawan yang jenis menjaga ibadahnya dan sering mengajak kita untuk bersama-sama menunaikan ibadah. Oleh yang demikian, kita akan terbiasa untuk melakukan perkara yang sama. 

Adab berkawan mestilah kita ikuti supaya tali persahabatan yang kita bina tidak bersifat sementara. Kawan yang baik amat diperlukan dalam kehidupan seseorang. Oleh itu, jadilah salah seorang kawan yang baik.

Bak kata pepatah, terapung sama hanyut, terendam sama basah yang membawa maksud persahabatan yang setia, sehidup semati. Berdasarkan peribahasa tersebut, kita semestinya ingin memiliki dan menjadi kawan dari syurga yang boleh memberikan manfaat dalam kehidupan orang lain. 

Kesimpulannya, semua orang berhak mempunyai sosok kawan yang baik sebagai pendamping. Maka, marilah kita bersama-sama merubah peribadi diri menjadi lebih baik untuk orang tersayang.