Ditulis oleh MUHAMMAD SYUKRI SAFARAZ BIN NOR AZIAN HUZAINI dan DR. AHMAD SAUFFIYAN BIN ABU HASAN
LAKONAN yang memukau daripada para pelakon untuk persembahan ‘Tragedi di Palestin dan Sudan’ memukau dan menambat hati para pelajar UPSI yang menghadiri ‘HIMPUNAN SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN & SUDAN’ pada 17 Disember 2025.
Kumpulan yang terdiri daripada 34 orang pelajar UPSI itu diketuai oleh Encik Haikal. “Kami berasa terharu kerana persembahan dan latihan kami selama seminggu membuahkan hasil dan menerima banyak pujian daripada para penonton” – ucapan daripada Encik Haikal apabila ditanyakan mengenai pendapatnya mengenai persembahan mereka tersebut.
Persembahan tersebut mengambil inspirasi dari tragedi peperangan yang menimpa negara Palestin dan Sudan. Lakonan mereka menggambarkan keadaan huru-hara dan kekejaman yang terjadi ketika peperangan tersebut. Para pelakon berlari bertempiaran, menjadi mayat yang dibunuh oleh askar musuh, serta pakaian mereka yang penuh dengan cat merah seakan-akan berlumuran darah.
Kemuncak persembahan menyaksikan pelakon utama, Anisa memberikan hujah dan kata-kata motivasi kepada para penonton agar memberikan bantuan dan sumbangan kepada negara-negara yang bergolak ini. “FREE FREE PALESTINE!!! FREE FREE SUDAN!!!” – itulah laungan yang diulangi oleh para pelakon dan para penonton ketika persembahan tersebut. Seluruh kawasan Arena UPSI bergema dengan laungan mereka.
“Persembahan mereka yang dramatis itu menyentuh hati saya dan membuatkan saya bersimpati terhadap rakyat Palestin dan Sudan yang sedang sengsara” – ulasan daripada seorang penonton yang hadir melihat persembahan tersebut. Melalui persembahan ini, para peserta dan pihak penganjur mengharapkan lebih ramai pihak akan mengambil berat akan situasi yang terjadi di Palestin dan Sudan serta tidak berhenti memberikan sokongan kepada mereka. Semoga Palestin dan Sudan mendapat keamanan yang mereka inginkan.
