Oleh : Siti Nazira Mohamad Azli & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar terus diperkukuh menerusi penganjuran ‘Kempen Rumah Hijau’ yang telah berlangsung pada hari hari rabu bertempat di Arena UPSI, KSAS, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini diadakan dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi dengan penyertaan warga kampus UPSI.
Kempen ini membawa tema “ Tanam Harapan, Siram Kebaikan, Tuai Kehijauan” yang bertujuan menyemai kesedaran tentang tanggungjawab sosial bersama dalam menjaga kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang. Penganjuran kempen ini juga selari dengan aspirasi UPSI yang menekankan nilai kelestarian, nilai kesejahteraan sosial dan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Program ini dianjurkan oleh pelajar tahun akhir AB14, Ijazah Sarjana Muda (ISM) Komunikasi Sosial, dengan kolaborasi bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) serta Jabatan Komunikasi (JKOM). Kempen ini dirancang sebagai platform pendidikan tidak formal untuk meningkatkan kesedaran awam melalui pendekatan komunikasi yang santai dan mesra komuniti.
Antara aktiviti utama yang dijalankan adalah dengan pemberian ‘MyChamp’ kepada para peserta sebagai simbol galakan pengunjung terhadap usaha penghijauan dan amalan gaya hidup lestari. Selain itu, air minuman percuma turut disediakan bagi memastikan keselesaan dan kebajikan peserta sepanjang program berlangsung. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, sekali gus tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap isu alam sekitar setelah mengunjung ke pameran kempen rumah hijau.
Menurut salah seorang pengunjung yang bernama Lee Mun Hou menyatakan bahawa “kempen ini berjaya memberi kesedaran tentang penjagaan alam sekitar. Selain itu, kempen ini berjaya menambahkan ilmu beliau tentang cara untuk mengurangkan bencana alam.” Beliau juga berkata “Aktiviti-aktiviti yang disediakan juga amat menarik dan seronok.”
Secara keseluruhannya, Kempen Rumah Hijau berjaya mencapai objektif penganjur dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat tentang kesedaran alam sekitar secara berkesan. Program ini bukan sahaja menggalakkan penglibatan aktif pelajar UPSI, malah berfungsi sebagai medium pembelajaran yang memberi pendedahan praktikal kepada mereka dalam mengurus dan melaksanakan kempen komunikasi sosial. Pihak penganjur amat berharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyokong pembangunan persekitaran yang lebih hijau, lestari dan sejahtera.

