Oleh : Masturina binti Azhar dan Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Isu pencemaran alam sekitar akibat industri fesyen semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan generasi muda. Menyedari hakikat ini, pelajar Tahun Akhir AB14 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Swag Fashion Runway sebagai salah satu pengisian utama dalam Kempen Eco Campus 360. Program ini bertujuan menyemai kesedaran tentang amalan fesyen lestari dalam kalangan warga kampus melalui pendekatan kreatif dan interaktif.
Program yang berlangsung pada 15 Disember 2025 bertempat di Atrium Pusat Pelajar, KSAS itu berjaya menarik penyertaan pelajar dengan yuran kemasukan serendah RM2.00 sebagai pengunjung manakala RM 3.00 sebagai peserta. Penganjuran program ini membuktikan bahawa kesedaran alam sekitar boleh disampaikan secara santai tanpa mengabaikan elemen hiburan yang diminati golongan muda. Melalui konsep peragaan fesyen dan aktiviti “menyelam bundle”, pengunjung didedahkan kepada kepentingan penggunaan semula pakaian terpakai bagi mengurangkan pembaziran tekstil.
Menurut Asyiqin, selaku Ahli Jawatankuasa Aktiviti Program Swag Fashion Runway, pendekatan yang digunakan dalam program ini sengaja dirancang agar mesej kelestarian alam sekitar dapat disampaikan secara dekat dengan minat pelajar. “Kami mahu menunjukkan bahawa fesyen lestari tidak semestinya membosankan atau mahal. Melalui peragaan fesyen dan aktiviti menyelam bundle, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana pakaian terpakai masih boleh digayakan dengan kreatif,” jelasnya.
Keistimewaan program ini turut diserlahkan dengan kehadiran Queen of Borneo Nation 2025/26, Fionaniza Anak Nome, yang menjadi ikon inspirasi kepada para pengunjung. Kehadiran beliau bukan sahaja menambah nilai tarikan program, malah menguatkan mesej bahawa keyakinan diri dan gaya boleh bergerak seiring dengan amalan lestari. Selain itu, tawaran mata CHAMP serta cabutan bertuah turut diperkenalkan bagi menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif.
Kempen Eco Campus 360 yang mendukung penganjuran program ini menekankan konsep One Campus, One Mission, iaitu tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar. Melalui Swag Fashion Runway, pelajar bukan sahaja berperanan sebagai penganjur, malah bertindak sebagai agen perubahan yang menyampaikan mesej kelestarian kepada rakan sebaya mereka.
Secara keseluruhannya, Program Swag Fashion Runway membuktikan bahawa mahasiswa UPSI mampu memanfaatkan ilmu komunikasi dalam merancang program yang berimpak tinggi. Pendekatan kreatif yang diterapkan bukan sahaja berjaya menarik perhatian, malah memberi kesedaran berpanjangan tentang kepentingan fesyen lestari dalam kehidupan seharian. Program ini diharap dapat menjadi contoh kepada penganjuran aktiviti kampus lain yang berteraskan kelestarian alam sekitar.
