Oleh: Batrisyia Nizam
Bandung, 5 Januari 2026- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya di peringkat antarabangsa melalui penganjuran program perkongsian ilmu secara komprehensif bersama Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) melalui kerjasama strategik yang turut disertai Universiti Malaya, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi Petronas.
Program yang berbentuk siri diskusi mahasiswa ini dianjurkan sebagai platform pertukaran kepakaran dalam bidang pedagogi serta pengurusan pelajar, selari dengan kedudukan UPSI dan UPI sebagai universiti pendidikan terkemuka di negara masing-masing.
Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, UPSI, Prof. Madya Dr. Che Ghani Che Kob berkata, sesi perkongsian pengajaran berkesan berjaya menarik perhatian para pensyarah UPI yang teruja dengan kurikulum dan kaedah yang diamalkan di Malaysia.
“Pihak UPI gembira dengan sesi perkongsian dan akan menyambung sesi seterusnya secara dalam talian untuk melibatkan lebih ramai lagi bakal guru atau pensyarah baharu” katanya.



Sesi perkongsian ilmu memfokuskan kepada teras tatakelola Hal Ehwal Pelajar yang merangkumi beberapa aspek penting dalam menjaga kebajikan pelajar. Perkongsian amalan terbaik melibatkan sistem sokongan pelajar dan pengurusan pentadbiran yang efisien dalam mewujudkan ekosistem kampus yang kondusif dan sejahtera telah berjaya dikongsikan melalui Felo Unit Kediaman Luar Kampus, En. Mohd Raizol Ramli daripada UPSI.
Muhammad Haris Syahmi bin hashim, wakil peserta dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyifatkan program tersebut sebagi platform berkesan dalam membentuk pemikiran kritis dan kemahiran komunikasi dalam kalangan mahasiswa.
“Program seperti ini memberi peluang kepada kami untuk menyuarakan pendapat secara matang serta melatih kemahiran berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan” ujarnya hari ini.
Di ruangan bilik ketiga, peserta turut didedahkan kepada modul dan latihan kepimpinan yang bertujuan dalam melahirkan barisan kepimpinan pelajar yang berwibawa, berintergriti dan berupaya dalam menzahirkan aspirasi mahasiswa di peringkat serantau dan global. Pendekatan berstruktur yang diamalkan oleh UPI termasuk kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat dilihat sebagai amalan baik yang boleh dicontohi, manakala UPSI berkongsi inisiatif sokongan pelajar melalui pemantauan berkala dan program kesedaran keselamatan.
Salah seorang wakil mahasiswa UPI, Diva Nazira Aulia menyatakan penghargaan terhadap pengisian modul yang disampaikan oleh delegasi UPSI.
“Sesi berkaitan Kepimpinan Persatuan pelajar benar-benar membuka perspektif baharu kepada kami. Kami bukan sahaja mempelajari kaedah mengurus organisasi, malah turut didedahkan dengan pembinaan kemahiran insaniah yang sangat diperlukan dalam pasaran kerja masa hadapan. Perkongsian yang disampaikan oleh UPSI amat praktikal dan relevan dengan realiti mahasiswa di Indonesia” katanya.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam merealisasikan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Selain menjadi medan perkongsian ilmu, program ini turut membuka ruang perbincangan berkaitan potensi kerjasama penyelidikan serta pertukaran pelajar yang lebih aktif pada masa hadapan.
Institusi- institusi yang terlibat dengan sesi diskusi ini berharap agar hubungan kerjasama strategik yang terjalin dapat diteruskan dan diperkukuh demi memacu kecemerlangan pendidikan dalam pembangunan mahasiswa di Rantau Asia Tenggara.

