Tanjong Malim-  Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Latihan Mengajar dan Latihan Industri (PuLaMI) menganjurkan Program Induksi Pra-Praktikum untuk Pelajar Latihan Mengajar dan Internship Kaunseling Semester A252 bertemakan “Step In to Step Up: From Readiness to Professionalism” pada 7 Januari 2026 lalu.

Terdahulu, pada 6 Januari 2026, Mesyuarat Pelarasan Permit Mengajar dan Penempatan Pelajar di Sekolah diadakan di Bilik Seminar Aminudin Baki bagi menyelaras permit mengajar, penempatan pelajar serta pelaksanaan latihan mengajar dan internship kaunseling.

Sesi ini menghimpunkan wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta penyelaras universiti untuk memastikan kefahaman tentang garis panduan, prosedur, bimbingan dan penilaian dapat diselaraskan dan dilaksanakan dengan lebih lancar.

Timbalan Pengarah 1 PuLaMI, Dr. Hapsah Md Yusof  berkata program  Program Induksi Pra-Praktikum untuk Pelajar Latihan Mengajar dan Internship Kaunseling Semester A252 memberi fokus terhadap persediaan awal bakal pendidik sebelum melapor diri ke sekolah, khususnya dari aspek pengurusan bilik darjah, etika profesional, komunikasi berkesan serta pemahaman budaya kerja sekolah.

Katanya, selaras dengan maklum balas pihak sekolah, program ini menjadi intervensi awal untuk mengurangkan jurang kesiapsiagaan, menyelaraskan harapan universiti–KPM–sekolah, serta mengukuhkan peranan guru pelatih sebagai pemegang amanah ilmu dan ejen perubahan di lapangan.

Beliau berkata PuLaMI berharap program ini menjadi platform tahunan berimpak tinggi yang menyokong agenda kualiti pendidikan dan SDG 4, seterusnya melahirkan guru pelatih UPSI yang kompeten, beretika dan bersedia memimpin bilik darjah secara profesional.

“Dengan sokongan semua pihak, UPSI komited menambah baik modul induksi, memantau pelaksanaan di lapangan dan memperkasa budaya profesional dalam kalangan guru pelatih secara berterusan, malah  pelajar disaran mengamalkan refleksi harian, menjaga reputasi UPSI, dan mematuhi garis panduan sekolah sepanjang tempoh praktikum sepenuhnya dengan disiplin tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, program induksi berskala besar berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dengan penyertaan seramai 1,062 orang, termasuk 1,000 pelajar Latihan Mengajar dan Internship Kaunseling, 30 sukarelawan serta barisan pengurusan universiti. Program dimulakan dengan bacaan ikrar, doa dan nyanyian lagu universiti, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengarah PuLaMI, Prof. Madya Dr. Ashardi Abas yang menegaskan latihan mengajar merupakan fasa kritikal dalam pembentukan identiti profesional dan jati diri guru pelatih.

Slot pengisian turut menampilkan perkongsian bertajuk “Dari Kampus ke Bilik Darjah: Profesionalisme dan Etika dalam Latihan Mengajar” oleh wakil KPM. Perkongsian ini menekankan kepentingan integriti, pematuhan peraturan sekolah, komunikasi berhemah serta tanggungjawab guru pelatih untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan pembelajaran murid terpelihara sepanjang menjalankan tugas.

Pengarah Akademik dan Antarabangsa menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus dalam ucapan perasmiannya berkata guru pelatih hadir ke sekolah bukan sekadar memenuhi syarat kursus, tetapi membawa nama universiti dan maruah profesion perguruan.

“Saya ingin mengingatkan pelajar supaya mematuhi etika dan profesionalisme secara konsisten, termasuk disiplin masa, tatacara berpakaian, adab komunikasi, penggunaan media sosial secara berhemah serta pematuhan SOP sekolah demi menjaga keselamatan murid.

Turut diadakan Forum “Realiti Praktikum: Suara dari Lapangan” yang dimoderatorkan oleh Dr. Hapsah Md Yusof (Timbalan Pengarah 1 PuLaMI), melibatkan wakil JPN, guru pembimbing sekolah dan alumni latihan mengajar.

Forum membincangkan cabaran sebenar di sekolah, penyelarasan standard bimbingan dan penilaian, serta solusi praktikal untuk menutup jurang kesiapsiagaan dan memperkukuh profesionalisme guru pelatih.