Melaka Tengah, 16 Disember 2025 – Program CoM@SPro’26: ECO BYTE – E-Waste Awareness & Computer Maintenance telah berjaya dilaksanakan di Kolej Vokasional Melaka Tengah di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Program ini dianjurkan oleh pelajar Fakulti Komputer dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penglibatan seramai 15 orang pelajar sebagai fasilitator dan 30 orang pelajar kolej vokasional sebagai peserta.
Pelaksanaan program ini mempunyai beberapa objektif utama, antaranya untuk memenuhi keperluan Course Learning Outcome (CLO3) kursus DTN3013 dengan memastikan pelajar mampu mengurus, menyelenggara dan mengendalikan sistem komputer secara praktikal.


Selain itu, program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta terhadap kepentingan pengurusan e-waste yang sistematik serta memperkasakan komuniti dengan kemahiran asas penyelenggaraan komputer bagi menyokong penggunaan teknologi yang lebih lestari.
Program ini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pelajar kursus DTN3013 mengaplikasikan pengetahuan teori berkaitan sistem komputer dan penyelenggaraan peranti dalam situasi sebenar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti.
Peningkatan isu sisa elektronik (e-waste) serta tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap pengurusan e-waste dan penyelenggaraan komputer menjadi antara faktor utama pelaksanaan program ini.
Justeru, ECO BYTE diwujudkan bagi mendidik komuniti tentang pengurusan e-waste yang bertanggungjawab serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 12): Responsible Consumption and Production.
Sepanjang program, peserta mengikuti beberapa modul pembelajaran yang dirangka secara sistematik merangkumi pendedahan teori, aktiviti interaktif dan sesi amali.
Modul Kesedaran E-Waste memberi fokus kepada maksud, jenis dan kesan e-waste terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia, di samping menekankan amalan pelupusan, penggunaan semula dan kitar semula peranti elektronik secara bertanggungjawab.
Modul ini turut menggalakkan sikap prihatin terhadap kelestarian alam sekitar dalam penggunaan teknologi harian.
Selain itu, Modul Asas Penyelenggaraan Komputer memperkenalkan peserta kepada komponen dalaman komputer seperti RAM, satah cable, serta peranti input dan output.
Peserta turut didedahkan kepada langkah penjagaan dan penyelenggaraan komputer bagi memastikan peranti dapat digunakan dengan lebih selamat dan tahan lama.
Program ini turut melaksanakan Modul Pemasangan Perkakasan Komputer secara amali, di mana peserta berpeluang menyambung kabel secara langsung di bawah bimbingan fasilitator.
Bagi menambah elemen interaktif, program ini turut diserikan dengan aktiviti Explorace, yang menguji pengetahuan, kerjasama pasukan dan kemahiran teknikal peserta.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Pantun Challenge & Cup Tower, Find the Wire, Labelling Game dan Colour Tap Game.
Setiap aktiviti dilaksanakan melalui beberapa checkpoint dengan pemarkahan berdasarkan ketepatan tugasan, masa dan penglibatan ahli kumpulan.


Secara keseluruhannya, pelaksanaan Program CoM@SPro’26: ECO BYTE telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya.
Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran peserta terhadap isu e-waste dan kepentingan pengurusan sisa elektronik secara lestari, malah turut memperkasakan kemahiran asas penyelenggaraan komputer dalam kalangan pelajar vokasional.
Pada masa yang sama, program ini memberi impak positif kepada pelajar UPSI sebagai fasilitator melalui peningkatan kemahiran teknikal, komunikasi dan kepimpinan.
Pelaksanaan ECO BYTE juga berjaya mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti serta menyumbang ke arah pembentukan masyarakat yang lebih celik teknologi dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
