Tanjong Malim, 17 Disember 2025– Seramai 47 orang murid Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City telah menerima pendedahan berkaitan kemahiran reka bentuk digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Program “Inovasi Digital: Meneroka Dunia Canva & AI” yang telah dilaksanakan pada 17 Disember 2025.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta kemahiran murid terhadap kepentingan kreativiti digital dalam pembelajaran dan kehidupan seharian, sejajar dengan keperluan pendidikan abad ke-21. Melalui pendedahan kepada aplikasi Canva dan teknologi AI, para murid dididik untuk memanfaatkan teknologi secara kreatif, beretika dan bertanggungjawab.

Sepanjang pelaksanaan program, para murid telah mengikuti pelbagai aktiviti seperti mereka bentuk buku cerita digital, slaid pembentangan, poster infografik dan lain-lain. Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini telah membantu meningkatkan keyakinan, kreativiti serta literasi digital dalam kalangan murid.

Program ini telah dikendalikan oleh 28 orang mahasiswa Kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) AT20C dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai fasilitator, sekali gus memberikan bimbingan secara langsung kepada para murid sepanjang aktiviti dijalankan. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Yusri Abdullah, selaku Penasihat Program Projek Santun Masyarakat, dan turut dihadiri oleh Pengetua SMK Proton City, En. Zain Khairull Sidek.
Pihak pengurusan program merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SMK Proton City atas kesudian menerima pelaksanaan program ini serta memberikan kerjasama dan sokongan sepenuhnya bagi memastikan kelancaran dan kejayaan penganjurannya.
