Sesi Penyampaian CenderamataSesi Penyampaian Cenderamata

oleh: Arissa Hasya Auni

Tanjong Malim, 13 Januari 2026 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) hari ini menerima tetamu dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, PKM, jam 9 pagi.

Ketua Editor, Bahagian Buku Sastera, Ja’afar Hamdan DBP berkata kunjungan ke UPSI bagi mengenal pasti program kerjasama penerbitan pada tahun 2026.

“Sempena sambutan 70 tahun DBP yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini di Sarawak, pihak kami ingin menawarkan kerjasama penerbitan dengan UPSI melalui cadangan 7-10 tajuk penerbitan untuk diterbitkan secara bersama” kata Ja’afar.

Menurut Ja’afar lagi, kerjasama ini akan dimuktamadkan melalui persetujuan perjanjian penerbitan yang akan menguntungkan kedua belah pihak.

Pihak DBP juga bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan UPSI dalam pengurusan jurnal dengan mengambilkira kepakaran yang ada pada UPSI selain juga pencapaian yang cemerlang dalam anugerah jurnal. Kerjasama lain juga akan dibincangkan dalam pertemuan selanjutnya pada masa akan datang.

“Saya mengalukan penglibatan pelajar-pelajar UPSI dalam penerbitan anekdot sesuai dengan jenis penerbitan terkini yang ringkas dan padat” kata Ja’afar.

Sesi Perbincangan UPSI-DBP

Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, bahan-bahan yang ada dalam kerja khusus pelajar boleh dikumpul oleh pensyarah untuk penerbitan anekdot ini.

Di akhir sesi pertemuan ini, Dr Nordiana berkata, PKM sudah mempunyai tajuk penerbitan yang sesuai bagi tujuan kerjasama ini.

“Sebuah buku agama yang sudah hampir siap akan dicadangkan, sesuai dengan keperluan penerbitan genre buku agama oleh DBP selain cadangan beberapa buku lain” kata Dr Nordiana

Sesi ditamatkan dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu DBP ini. PKM akan mengadakan lawatan susulan ke DBP bagi melanjutkan cadangan kerjasama ini yang bakal memberi impak kepada penerbitan buku UPSI.