Oleh Arissa Hasya Auni
PUTRAJAYA, 23 Januari 2026 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Mesyuarat & Bengkel KPI dan Bengkel Penjanaan Penerbitan Untuk Jualan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) yang diadakan pada 21-23 Januari 2026 di Hotel Park Inn by Radisson, Putrajaya.
Menurut Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah, bengkel ini bertujuan untuk merancang aktiviti dan program PKM Tahun 2026 selain merancang strategi untuk memenuhi KPI yang ditetapkan oleh Universiti. Ini termasuk strategi bagi memenuhi Aspirasi Naib Canselor. Seramai 26 orang kakitangan PKM terlibat dalam program ini.
Dr Nordiana berkata PKM lebih awal menyambut Aspirasi Universiti yang akan dibentangkan pada 28 Januari 2026 dengan membincangkan strategi pelataan kepada kakitangan.



“Dalam Aspirasi Universiti, PKM bakal terlibat dalam kerjasama penerbitan dengan Oxford University Press (OUP) dan National University of Singapore (NUS) PKM juga mensasarkan lima jurnal untuk mendapatkan pengindeksan Scopus” kata Dr Nordiana.
Timbalan Pengarah (Penarafan dan Antarabangsa), Dr Laili Farhana berkata PKM merancang strategi bagi memenuhi Aspirasi Universiti itu melibatkan jurnal iaitu The Asian Journal of English Language and Pedagogy, The Southeast Asia Early Childhood Journal,
EDUCATUM Journal of Science, Mathematics and Technology dan International Business Education Journal.



Antara jurnal lain yang dalam senarai PKM untuk tujuan itu ialah SIBAWAYH, Arabic Language and Education Journal dan Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Siri bengkel akan diadakan bermula Februari 2026 bersama perunding jurnal UPSI seperti Bengkel Pengurusan Jurnal dan Bengkel Semakan Kualiti Jurnal.
“PKM akan fokus kepada kualiti jurnal dengan mengambilkira maklumbalas Scopus berkaitan dua permohonan jurnal UPSI yang dihantar tahun lepas” kata Laili yang turut berkongsi pencapaian dan kejayaan PKM pada 2025 ketika slot bersama Pengarah PKM.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kanan PKM, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain berkata bengkel ini menghasilkan Strategi KPI 2026 berserta Aktiviti Program dan Draf Cadangan Penjanaan Penerbitan Untuk Jualan PABKL.
Perbincangan meliputi cadangan tajuk laku keras, cadangan pemantapan “house style” penerbitan PKM, inisiatif kepada penulis dan strategi menjana pendapatan melalui penerbitan oleh PKM. Perbincangan turut melibatkan penetapan aktiviti Rabu@Qalbu PKM Tahun 2026 dan Takwim PKM 2026.


Sepanjang bengkel berlangsung, empat orang pembentang yang terlibat mewakili seksyen di bawah PKM iaitu Azlan Mohd Dahari, Ketua Seksyen Penerbitan Buku, Faridah Hanim Aziz@Adan bersama Zuzalina Zulkanain, Sofiatul Nazira Ahmad Shubki, Ketua Seksyen Pemasaran dan Jualan dan Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain serta Nur Afiqah Mat Fuad yang mewakili Pentadbiran dan Kewangan dan Seksyen Penerbitan Jurnal dan Seksyen Pentadbiran dan Kewangan.
Sesi bengkel berakhir dengan Sesi Pelataan Aspirasi Universiti dan ucapan penutup Pengarah PKM.

