oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjong Malim, 28 Januari 2026 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) hari ini menerima tiga tetamu dari Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN).
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, PKM diketuai oleh Noor Azira Abdull Razak, Pustakawan, Seksyen Perpustakaan dan Penerbitan bersama dua orang Penolong Pustakawan, Yusmila Ishak dan Siti Kalsum Ibrahim
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan penasihatan dan rujukan pihak UPSI melalui Seksyen Jurnal PKM berkaitan pemantapan dan pemerkasaan jurnal mereka, Jurnal INSTUN bagi mendapatkan pengindeksan MyCite dan Scopus.
Menurut Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah, UPSI bersedia membantu INSTUN dalam urusan ini dengan mengambilkira pengalaman yang ada pada Seksyen Jurnal UPSI.
“UPSI juga boleh bekerjasama dalam penerbitan buku seperti yang diminta oleh pihak INSTUN. MOU yang pernah ditandatangani pada 2015 juga boleh diperbaharui dengan memasukkan terma kerjasama terkini” kata Dr Nordiana.


Pengurus Editor PKM merangkap Penolong Pegawai Tadbir, Mohd Shahrizal Mohamad Ridzuan berkata kerjasama UPSI-INSTUN dalam jurnal pernah terjalin melalui pelantikan editor jurnal. Antara staf UPSI yang menjadi editor Jurnal INSTUN termasuklah Profesor Madya Dr Nasir Nayan dan Profesor Madya Dr Kamarul Ismail.
Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan) PKM, Dr Laili Farhana Md Ibharim berkata, hasrat INSTUN untuk mendapatkan kepakaran UPSI boleh dibuat secara rasmi dalam bentuk pelantikan perunding bagi menjalankan kerja-kerja membantu urusan pemantapan dan pemerkasaan jurnal.


Timbalan Pendaftar Kanan PKM yang juga Ketua Seksyen Penerbitan Jurnal, Encik Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain berkata PKM dan INSTUN akan mengadakan perbincangan lanjutan berkaitan jurnal dan buku
“Pihak PKM dan INSTUN bersetuju sesi perbincangan seterusnya akan diadakan di INSTUN” kata Ahmad ketika mengakhiri perbualan.

