Situasi di stesen bas berhadapan Pintu Timur, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSISituasi di stesen bas berhadapan Pintu Timur, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI

Oleh : Nik Nurkhalisha Bahirah binti Zaini

TANJUNG MALIM, 16 JANUARI 2026— Peningkatan jumlah bas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini memudahkan perjalanan pelajar dari kolej kediaman ke dewan kuliah, sekali gus meningkatkan keselesaan dan mengurangkan kesesakan di kawasan kampus. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif pihak universiti dalam menangani isu kelewatan dan kesukaran pergerakan pelajar, khususnya pada waktu puncak.

Sejak awal Desember 2025, , pihak pengurusan UPSI menambah bilangan bas yang beroperasi pada waktu pagi dan petang bagi mengangkut pelajar dari Kolej KHAR ke fakulti masing-masing. Setiap bas mempunyai kapasiti sekitar 40 pelajar dan beroperasi mengikut jadual tetap supaya perjalanan lebih lancar serta teratur.

Seorang pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Muhammad Amiruddin, 23, berkata, “Sebelum ini, kadang-kadang kami terpaksa menunggu lama atau sesak bila bas tidak mencukupi. Dengan penambahan bas sekarang, perjalanan ke kelas lebih cepat dan selesa.” Beliau turut menyatakan bahawa jadual bas yang lebih kerap membantu pelajar merancang masa dengan lebih baik.

Selain memudahkan pelajar, peningkatan perkhidmatan bas ini juga membantu pengurusan kampus mengurangkan kesesakan kenderaan di kawasan parkir dan laluan utama. Pihak pengurusan UPSI menekankan bahawa inisiatif ini dilaksanakan bagi meningkatkan pengalaman pelajar serta memastikan keselamatan perjalanan dalam kampus, terutama ketika waktu hujan dan keadaan trafik sesak.

Penggunaan bas yang lebih efisien juga mendorong pelajar untuk mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi, sekali gus menyokong amalan mesra alam dan kelestarian kampus. Usaha ini secara tidak langsung membantu mengurangkan pencemaran udara serta meningkatkan kualiti persekitaran kampus.

Penambahan bilangan bas di UPSI menunjukkan komitmen universiti dalam memastikan pelajar dapat bergerak dengan selesa, selamat, dan cekap. Langkah ini bukan sahaja memudahkan kehidupan pelajar, tetapi turut menyokong kelestarian dan keharmonian suasana kampus secara keseluruhan.