Tanjong Malim, 18 Januari 2026 – Pusat Alumni dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Alumni D’Legend Back to Campus 2026 yang bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Proton City.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 17 – 18 Januari, bertujuan untuk mengumpulkan kembali kumpulan alumni FSSKJ dari batch 1998-2000, yang dikenali sebagai “D’Legend”. Pertemuan semula ini diadakan bagi mengeratkan silaturahim sesama ahli batch serta berkongsi aspirasi demi kemajuan universiti bersama generasi baharu.

Acara kemuncak pada hari kedua diserikan dengan “Slot Bersama Figura FSSKJ” yang bertemakan “Jasa dan Pengorbanan Sentiasa Mengiringi Arus Kecemerlangan Fakulti”.

Sesi forum ilmiah ini telah dikendalikan oleh moderator, Prof. Madya Dr. Zulezwan Ab Malik dan berlangsung di perkarangan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.

Slot istimewa ini menampilkan barisan pensyarah yang menjadi pelopor kepada penubuhan fakulti ini, iaitu Profesor Dr. Ahmad Hashim, Prof. Madya Dr. Sani Madon, Prof. Madya Dr. Lee Ai Choo, dan En. Abu Hassan Hewap. Kehadiran mereka menggamit memori indah zaman pengajian dan dihargai sebagai simbol “jasa dan pengorbanan” yang menjadi tunjang kecemerlangan fakulti.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin yang juga merupakan pelajar batch D’Legend.

Antara lain yang hadir ialah Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Prof. Madya Dr. Jaffry Zakaria dan Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril.

Program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat positif. Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat membina jaringan (networking) yang kukuh antara alumni senior dan pihak pengurusan universiti, serta menyuntik semangat ‘Back to Campus’ dalam kalangan warga alumni UPSI.