Oleh: Dr. Roznim Mohamad Rasli


Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian melalui kerjasama strategik di antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Bisnes dan Teknologi Asia Malang, Indonesia (IAM). Pelaksanaan program ini dirangka selari dengan kerangka dan falsafah SULAM dan pendekatan Outcome-Based Education (OBE) bagi memastikan pencapaian hasil pembelajaran kursus secara holistik dan berimpak.


Objektif utama program SULAM ini adalah untuk mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan elemen khidmat kepada komuniti akademik antarabangsa melalui perkongsian pengetahuan secara dua hala dan pembelajaran berasaskan pengalaman. Pelajar bukan sahaja berperanan sebagai penerima ilmu, malah sebagai penyumbang aktif dalam perbincangan dan perkongsian perspektif berdasarkan latar pendidikan serta konteks negara masing-masing. Interaksi ini menyumbang kepada pembentukan kemahiran insaniah dan nilai tanggungjawab sosial, sejajar dengan matlamat SULAM untuk melahirkan graduan seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kepekaan sosial.


Program ini melibatkan keseluruhan 228 pelajar yang terdiri daripada 101 pelajar daripada gabungan Jabatan Informatik dan Jabatan Kejuruteraan Komputer, IAM serta didokong oleh seramai 127 pelajar kursus Prinsip Kejuruteraan Perisian daripada Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, UPSI. Pelaksanaan program bermula seawal 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada 17 Januari 2026 ini melibatkan aktiviti perkongsian ilmu dan perbincangan interaktif yang memberi penekanan kepada prinsip-prinsip asas kejuruteraan perisian merangkumi fasa-fasa Kitar Hayat Pembangunan Perisian iaitu perancangan, kejuruteraan keperluan, reka bentuk, pembangunan, pelaksanaan dan evolusi sistem.

Pendekatan pembelajaran autentik dan kolaboratif ini membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan teori dalam konteks sebenar pembangunan perisian serta meningkatkan kefahaman terhadap amalan kejuruteraan perisian yang sistematik dan berstruktur. Selain itu, pelaksanaan program ini turut menyokong agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 4 (Quality Education) melalui penyediaan akses kepada pembelajaran berkualiti dan inklusif merentas sempadan negara, SDG 9 (Industry, Innovation and Infrastructure) melalui pendedahan kepada amalan kejuruteraan perisian dan inovasi teknologi, serta SDG 17 (Partnerships for the Goals) menerusi pengukuhan jaringan kerjasama strategik di antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia.

Dapatan pemerhatian menunjukkan tahap penglibatan dan minat pelajar adalah tinggi, khususnya dalam sesi perbincangan dua hala dan perkongsian pengalaman akademik. Dari sudut pembelajaran berasaskan nilai, pelajar turut menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dan peranan mereka sebagai agen penyebar ilmu, sekaligus memupuk sikap empati, keprihatinan dan pembelajaran sepanjang hayat. Dari perspektif impak komuniti, pendekatan pembelajaran kolaboratif rentas negara membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan teori dalam konteks yang lebih autentik dan sejajar dengan keperluan amalan industri semasa. Dari sudut akademik pula, pelajar turut menyatakan peningkatan dalam kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kerja berpasukan, kepimpinan serta pemikiran kritis. Interaksi bersama rakan sebaya dari institusi dan latar budaya yang berbeza telah meningkatkan keyakinan pelajar untuk menyuarakan idea, menghormati pandangan berbeza serta menyesuaikan gaya komunikasi dalam persekitaran pembelajaran antarabangsa.

Secara keseluruhannya, impak komuniti yang terhasil daripada Program SULAM UPSI-IAM bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian hasil pembelajaran pelajar, malah melibatkan pemerkasaan komuniti akademik secara kolektif melalui perkongsian ilmu, pemahaman antara budaya dan pengukuhan jaringan kerjasama serantau. Impak ini menyokong aspirasi pendidikan tinggi yang berteraskan kelestarian, inovasi dan pembangunan modal insan global. Sehubungan itu, program ini berpotensi untuk diperluas dan diketengahkan sebagai inisiatif mobiliti pelajar antarabangsa tidak berkredit pada masa hadapan, selaras dengan agenda pengantarabangsaan universiti dan pemerkasaan pembelajaran berimpak tinggi dalam pendidikan tinggi.