Oleh: Adibah Anisah Mohd Saydi & Mohamad Basri Jamal
Tanjung Malim, 10 Januari 2026 – Universiti merupakan ruang pembangunan mahasiswa yang melangkaui proses pembelajaran di bilik kuliah. Ia menjadi platform pembentukan jati diri, sahsiah dan hala tuju masa depan melalui penglibatan dalam aktiviti akademik, kokurikulum dan kemasyarakatan.
Pengalaman yang dilalui di universiti membentuk nilai, disiplin serta keupayaan kepimpinan mahasiswa sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia sebenar yang semakin kompleks dan kompetitif. Berteraskan kesedaran tersebut, Program Hala Tuju Graduan AT58: Batch
Dato’ Sagor telah dianjurkan sebagai sebuah inisiatif bermakna oleh Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), yang dipimpin oleh pengarah program iaitu Erin Natasha Darmadie khusus bagi menghimpunkan mahasiswa Semester 7 Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam satu majlis penuh penghargaan, refleksi dan emosi.



Program ini melibatkan seramai 62 orang mahasiswa AT58 Batch Dato’ Sagor yang dianjurkan khusus untuk memberikan pendedahan awal berkaitan perancangan hala tuju selepas tamat pengajian.
Sama ada melangkah ke dunia kerjaya, menceburi profesion keguruan atau meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, program ini berperanan membantu mahasiswa membuat persediaan awal dari segi mental, emosi dan profesional.
Dalam masa yang sama, program ini turut menjadi wadah mengiktiraf sumbangan serta pencapaian mahasiswa sepanjang tempoh pengajian, khususnya dalam aspek kepimpinan badan pelajar, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan para pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia.



Majlis yang berlangsung di Dewan Banquet, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI ini bertemakan “Around The World”.
Tema tersebut turut diterjemahkan melalui hiasan dewan serta penampilan para hadirin yang mencerminkan kepelbagaian budaya, sekali gus menyerlahkan keterbukaan dan aspirasi global graduan AT58.
Majlis bermula seawal jam 7.30 malam dengan sesi pendaftaran serta ketibaan tetamu jemputan dan dif-dif kehormat. Kehadiran para pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia jelas memberikan aura rasmi dan penuh makna, mencerminkan penghargaan terhadap usaha serta pencapaian mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka.



Suasana awal majlis dipenuhi dengan senyuman, sapaan mesra dan detik pertemuan yang sarat dengan rasa bangga serta nostalgia. Pada jam 8.00 malam, majlis dimulakan secara rasmi dengan pengacaraan majlis, diikuti nyanyian lagu Negaraku, Kebesaran Negeri Perak dan Ibu Kandung Suluh Budiman.
Alunan lagu-lagu ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah membangkitkan rasa bangga sebagai warga UPSI yang bakal melangkah keluar membawa nama universiti ke persada lebih luas.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Intan Suria binti Hamzah, yang menyampaikan ucapan penuh inspirasi serta kata-kata penghargaan kepada para graduan AT58.
Ucapan tersebut menekankan kepentingan perancangan masa depan, keutuhan sahsiah serta peranan graduan sebagai bakal pendidik dan pemimpin masyarakat.
Kata-kata yang disampaikan bukan sahaja menyentuh aspek akademik, malah menyentuh nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang perlu digalas oleh setiap graduan.
Kemuncak program diteruskan dengan ucapan kata-kata mutiara oleh Dr. Nizamuddin bin Alias, yang berkongsi pengalaman serta pandangan berkaitan realiti kehidupan selepas graduasi.
Perkongsian tersebut memberi penekanan terhadap keperluan ketahanan diri, kebolehan menyesuaikan diri serta kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Nasihat yang disampaikan memberi kesan mendalam kepada para mahasiswa, sekali gus menyuntik keyakinan untuk melangkah ke fasa baharu dengan lebih bersedia.
Suasana majlis seterusnya diserikan dengan pelbagai persembahan kreatif semasa sesi menjamu selera. Antaranya adalah persembahan lakonan bertajuk “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” yang disampaikan oleh pelajar daripada Batch Tun Mustapha, yang sarat dengan elemen simbolik dan mesej tersirat tentang perjuangan dan pengorbanan.
Majlis turut dimeriahkan dengan tarian Bollywood penuh bertenaga oleh wakil Batch Dato’ Dagor, yang berjaya menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan dalam kalangan hadirin.
Salah satu pengisian yang paling menyentuh emosi hadirin adalah tayangan video montaj yang memaparkan perjalanan mahasiswa AT58 Batch Dato’ Sagor sepanjang tempoh pengajian di UPSI.
Tayangan ini membawa para graduan mengimbau kembali kenangan pahit manis, cabaran akademik, aktiviti kokurikulum serta ikatan persahabatan yang terjalin. Detik-detik tersebut jelas mencetuskan rasa nostalgia, senyuman dan air mata, menggambarkan betapa bermaknanya perjalanan yang telah dilalui bersama.
Detik paling menyentuh perasaan ialah Majlis Restu Ilmu, apabila para pelajar menzahirkan penghormatan dan memohon restu daripada para pensyarah yang telah mencurahkan ilmu, bimbingan serta nasihat sepanjang tempoh pengajian.


Selepas itu, majlis diakhiri dengan sesi fotografi bagi merakam kenangan terakhir sebelum para graduan melangkah meninggalkan satu fasa penting dalam kehidupan akademik mereka.
Secara keseluruhannya, Program Hala Tuju Graduan AT58: Batch Dato’ Sagor yang diterajui oleh Pengarah Program, Erin Natasha Darmadie, berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan cemerlang.
Program ini bukan sekadar sebuah majlis rasmi, malah merupakan perhimpunan bermakna yang menyatukan elemen penghargaan, refleksi, inspirasi dan kebersamaan.
Ia menjadi simbol penutup satu perjalanan dan pembukaan lembaran baharu dalam kehidupan para graduan. Diharapkan graduan AT58 terus melangkah maju sebagai alumni UPSI yang berilmu, berintegriti dan komited dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta negara.
