Oleh: Minsya Arrissa Norizam & Encik Kamal Kamaruddin
TANJONG MALIM, 19 November 2025- Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Dari UPSI ke Hiroshima yang berlangsung di Bilik Kuliah E-Learning 4, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Sambutan ini melibatkan 60 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa/I Universiti Pendidikan Sultan Idris dan 17 orang ahli jawatankuasa PERMAS.
Program “Dari UPSI ke Hiroshima: Menyingkap Budaya, Menyatukan Pengetahuan” merupakan satu sesi perkongsian ilmu yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS) bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang pengalaman mobiliti antarabangsa. Program ini menampilkan Gwynezel Iven Anak Gejiol, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian (Semester 8, Batch Mat Kilau) yang merupakan peserta program “Hiroshima and Peace 2025”. Sepanjang sesi, beliau berkongsi pengalaman mengikuti program pertukaran kredit di Hiroshima, termasuk pendedahan kepada sejarah pengeboman atom, pendidikan keamanan, interaksi dengan pelajar antarabangsa serta perbezaan budaya masyarakat Jepun. Program ini turut menekankan kepentingan mobiliti pelajar dalam membentuk pemikiran global, meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi, di samping memberi peluang kepada peserta untuk memahami kepentingan pengalaman pembelajaran di peringkat antarabangsa.



Ucapan aluan telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Nazirah binti Lee, pensyarah dari Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, yang juga merupakan penceramah jemputan dalam program ini. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program mobiliti antarabangsa sebagai platform untuk memperluas horizon pemikiran mahasiswa, khususnya dalam bidang sejarah yang memerlukan pemahaman merentas budaya dan perspektif global. Beliau juga menggalakkan para pelajar agar merebut peluang menyertai program sebegini bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran insaniah serta daya saing diri, di samping menghargai pengalaman pembelajaran di luar negara sebagai satu nilai tambah dalam pembentukan jati diri dan profesionalisme bakal pendidik.
Pelaksanaan program “Dari UPSI ke Hiroshima: Menyingkap Budaya, Menyatukan Pengetahuan” telah mendapat respon yang amat positif daripada mahasiswa/i UPSI yang hadir, khususnya dalam kalangan pelajar sejarah yang berminat untuk meneroka peluang di peringkat antarabangsa. “Saya rasa program ini sangat bermanfaat kerana dapat memberi gambaran jelas tentang pengalaman belajar di luar negara dan membuka perspektif baharu tentang sejarah serta keamanan dunia,” ujar salah seorang peserta.


Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberikan kesan yang signifikan kepada Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS) serta para peserta melalui perkongsian pengalaman sebenar mobiliti pelajar di Hiroshima. Program ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan berkaitan sejarah global dan pendidikan keamanan, malah turut membentuk pemikiran yang lebih terbuka terhadap kepelbagaian budaya dan sistem pembelajaran antarabangsa.


Di samping itu, pelaksanaan program ini juga membantu meningkatkan keyakinan serta kesediaan mahasiswa/i untuk mencuba peluang baharu pada masa hadapan. Justeru, pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform berterusan dalam melahirkan pelajar yang berwawasan global dan berdaya saing tinggi.
