Oleh: Catherine Mundu Geruka & Mohamad Basri Jamal

Tanjong Malim, 11 Januari 2026 – Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) telah menganjurkan Program Sukan Tradisi X Moden.

Program ini telah diadakan pada hari Ahad, 11 Januari 2026 bertempat di Padang Kampus Sultan Abdul Jalil Shah serta melibatkan kesemua batch Pengajian Malaysia iaitu batch Dato’ Sagor, batch Abdul Rahim Kajai, batch Usman Awang, batch Tun Sri Lanang dan batch Tun Mustapha.

Program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan antara pelajar serta memupuk semangat kerjasama dan kesukanan. Penganjuran program ini turut menggalakkan mahasiswa/i mengamalkan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat.

 Pelbagai acara telah dipertandingkan yang menggabungkan sukan moden dan tradisional seperti perbarisan, 4 x 100 meter, bola beracun, lari dalam guni, tuju selipar dan galah panjang. Acara wajib yang paling mencuri tumpuan ialah pertandingan tarik tali. Sorakan bergema di padang apaila setiap pasukan berhempas-pulas menggunakan sepenuh tenaga dan strategi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada batch masing-masing.

Sepanjang program berlangsung, suasana sangat meriah dengan sorakan dan sokongan daripada para peserta serta penyokong. Semua peserta memberikan komitmen yang baik dan menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi.

Bagi keputusan keseluruhan, batch Dato’ Sagor telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Naib juara telah dimenangi oleh batch Usman Awang, diikuti oleh batch Tun Sri Lanang di tempat ketiga dan batch Abdul Rahim Kajai di tempat keempat.

Sebagai penutup program, majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Muhammad Nadzir bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pengajian Malaysia. Beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua peserta serta memuji semangat kerjasama yang ditonjolkan sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamatnya untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar Pengajian Malaysia. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.