Oleh : Nabil Aniq Mohd Luai
JOHOR BAHRU, 12 Mac – Suasana penuh harmoni dan kemesraan jelas terpancar dalam penganjuran Majlis Berbuka Puasa bersama Mahasiswa Johor 2026 yang telah berlangsung dengan jayanya di Trove Hotel Johor Bahru.
Majlis ini berjaya menghimpunkan seramai 400 mahasiswa anak Johor yang sedang menuntut di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari seluruh negara. Kehadiran mereka bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan, malah menjadi bukti komitmen dalam memperkukuh jaringan silaturahim sesama mahasiswa Johor.
Program berbentuk santai namun penuh bermakna ini membuka ruang kepada para mahasiswa untuk saling mengenali, bertukar pandangan serta membina hubungan yang lebih erat walaupun datang daripada latar belakang pengajian dan institusi yang berbeza. Jelas sekali, platform seperti ini amat signifikan dalam membentuk kesatuan dan identiti mahasiswa Johor yang lebih utuh.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Behormat Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor yang menunjukkan sokongan berterusan pihak kerajaan negeri terhadap pembangunan dan kebajikan mahasiswa. Kehadiran beliau secara tidak langsung menyuntik semangat serta motivasi kepada para mahasiswa untuk terus cemerlang dalam bidang masing-masing.

Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini bukan sekadar memenuhi tuntutan berbuka puasa bersama, tetapi turut berperanan sebagai medium penyatuan yang mampu menyemai nilai kebersamaan, toleransi dan semangat kekitaan dalam kalangan mahasiswa Johor. Diharapkan inisiatif seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang demi melahirkan generasi muda yang bersatu padu, berdaya saing serta berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
