Oleh: Amir Haziq Adnan
Tanjong Malim, 28 Disember 2025 – Program Jelajah Inspirasi 1.0: Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya dilaksanakan di Dewan Kuliah E-Learning, Aras 1, Bilik Kuliah 5, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini merupakan anjuran Exco Perpaduan, Integrasi dan Kemasyarakatan Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor (PERKASA) UPM.
Program yang bertemakan “Perpaduan Bangsa Johor” ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama serta jaringan antara mahasiswa Johor daripada dua institusi pengajian tinggi iaitu UPSI dan UPM. Inisiatif ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengalaman, idea serta pandangan berkaitan kepimpinan dan pengurusan persatuan mahasiswa.



Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran wakil mahasiswa daripada kedua-dua universiti iaitu Farisyah Raihana Mohamad Nizam, Pengarah Program Jelajah Inspirasi serta Nur Alea Osmahaizie Mohd Khairi, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor (PERKASA), Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini turut digerakkan oleh barisan kepimpinan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Minsya Arrissa Norizam selaku Pengarah Program.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 90 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa pelaksana M@JOR UPSI, barisan kepimpinan M@JOR serta mahasiswa PERKASA UPM. Penglibatan peserta daripada kedua-dua universiti ini telah mewujudkan suasana interaksi yang positif serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa Johor.
Antara pengisian utama program ialah Sesi Pengurusan dan Kepimpinan Persatuan Anak Negeri Universiti yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan kepimpinan, pengurusan organisasi serta kerjasama dalam menjayakan sesebuah program mahasiswa. Sesi perkongsian ini turut memberi inspirasi kepada peserta untuk terus aktif dalam kegiatan persatuan serta membina jati diri sebagai mahasiswa yang berdaya saing.
Selain itu, program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti Perlumbaan Eksplorasi Bangsa Johor yang melibatkan beberapa stesen menarik seperti Stesen Kota Iskandar, Stesen Peta Darul Ta’zim, Stesen Loghat Johor Bahru, Stesen Rentak Zapin dan Stesen Johor Kita. Aktiviti berbentuk eksplorasi ini bukan sahaja menguji kerjasama berpasukan malah memberi peluang kepada peserta untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah, budaya dan identiti negeri Johor.



Majlis penutup program diakhiri dengan ucapan wakil daripada pihak UPSI dan UPM serta penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya dalam aktiviti eksplorasi. Program ini turut disempurnakan dengan tayangan montaj serta sesi bergambar sebagai kenangan kepada semua peserta yang terlibat.
Secara keseluruhannya, Program Jelajah Inspirasi 1.0 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh semangat perpaduan, kepimpinan dan kerjasama antara mahasiswa Johor dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi mahasiswa yang berwawasan, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
