Oleh: Nur Diana Natasha hashim
Senggarang, Batu Pahat, 5 Mac 2026 – Exco latihan Pembangunan dan Sahsiah Majlis Anak Johor (M@JOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Semarak Ikhlas Ramadhan yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 Mac 2026 hingga 7 Mac 2026 di SK Senggarang, SK Bukit Soga dan Masjid Haji Tahar, Senggarang, Johor.
Seramai 42 orang ahli jawatankuasa Majlis Anak Negeri Johor (M@JOR) UPSI telah menjayakan Program Semarak Ikhlas Ramadhan pada 5-7 Mac 2026 di Senggarang dan Batu Pahat berkampung di daerah Senggarang bagi menjayakan siri program khidmat komuniti yang komprehensif.
Program khidmat komuniti ini bertujuan mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti pendidikan, kesukarelawan, dan kerohanian yang disusun rapi sepanjang tiga hari tersebut.



Sepanjang tiga hari program berlangsung, fokus utama diberikan kepada pembangunan modal insan dan integrasi sosial.
Di peringkat sekolah, seramai 80 orang murid SK Senggarang telah terlibat secara aktif dalam aktiviti Cat Doodle yang bertujuan mencungkil bakat seni kreatif, selain menyertai Aktiviti Explorace yang direka khas untuk memupuk semangat kepimpinan serta kerjasama berpasukan dalam kalangan murid sekolah rendah.
Program turut disusuli dengan Majlis Iftar Bersama Komuniti di Masjid Haji Tahar yang menghimpunkan kira-kira 100 penduduk setempat Dalam suasana penuh ukhuwah.. Majlis yang penuh dengan suasana ukhuwah ini telah dihadiri oleh kira-kira 100 orang ahli komuniti setempat.
Kehadiran masyarakat yang sangat memberangsangkan ini memperlihatkan sokongan padu penduduk terhadap usaha murni mahasiswa dalam mendekati akar umbi, sekali gus menjadi platform terbaik bagi para mahasiswa untuk beramah mesra dengan penduduk kampung sebelum memulakan aktiviti seterusnya.
Selain itu, seramai 13 buah keluarga di komuniti penduduk kampung Senggarang telah terlibat dalam Program Keluarga Angkat yang memberi peluang kepada AJK M@JOR UPSI untuk merasai sendiri kehangatan budaya dan cara hidup masyarakat luar bandar, malah membina ikatan kekeluargaan yang lebih akrab antara anak muda dan orang lama dalam suasana yang cukup harmoni.
Bagi menyuburkan lagi semangat kesukarelawan dan kemasyarakatan, satu aktiviti gotong-royong perdana turut dijalankan bersama komuniti sekolah di SK Bukit Soga, Batu Pahat.



Melalui kerjasama erat antara mahasiswa dan warga sekolah, aktiviti ini berjaya meningkatkan keceriaan serta kebersihan kawasan persekitaran sekolah demi keselesaan para pendidik dan murid-murid dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Selanjutnya, AJK program turut menyertai aktiviti memasak bubur lambuk bersama Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ), yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, speaker Dewan NEGERI Johor dan juga Yang Berhormat Mohd Yusla bin Ismail, ADUN Senggarang.
Secara keseluruhan, program ini menjadi platform kepada mahasiswa untuk menyumbang bakti kepada masyarakat serta mengukuhkan hubungan erat antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.
