Oleh : Nur Ayani Fathiah
Tanjong Malim, 4 April 2026– Program Pasar Karya Adiwarna yang berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menarik kehadiran ramai hampir 300 orang yang melibatkan mahasiswa/i, pengunjung luar dan warga UPSI dengan pelbagai aktiviti berasaskan seni dan keusahawanan.
Program yang dianjurkan oleh Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sesi 2025/2026 ini bertemakan “Beyond Craft – Creativity into Profit”, bertujuan menggalakkan mahasiswa/i menjana pendapatan melalui kreativiti seni.
Objektif program ini diadakan adalah bagi membolehkan para mahasiswa/i dapat meneroka dan menghargai keunikan hasil kraf tangan yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia serta mencungkil bakat mahasiswa/i dalam menghasilkan produk kraf yang inovatif dan bernilai.



Antara pengisian utama dalam program Pasar Karya Adiwarna ini iaitu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel praktikal sulaman (embroidery), sharing talk usahawan daripada Fotokopi Malim, cabutan bertuah, reruai pameran kraftangan, gerai jualan makanan dan minuman dan pameran produk kreatif hasil tangan mahasiswa/i.
Selain itu, pertandingan sulaman paling cantik dan pertandingan reruai pameran turut diadakan bagi mencungkil bakat serta kreativiti peserta.
Selaku Felo Penasihat program, Puan Norrulkamari Daud telah merasmikan dengan jayanya iaitu menyampaikan ucapan dan disusuli dengan gimik perasmian.
Menerusi ucapan perasmian, beliau berbesar hati dengan adanya bengkel keusahawan dalam program ini sedikit sebanyak menggilap dan meningkatkan kemahiran para peserta bahkan memupuk nilai keusahawanan dalam diri siswa/i khususnya pelajar UPSI.



Program yang dijalankan ini bukan sahaja dapat memberikan pengetahuan baru kepada mahasiswa/i tetapi juga meningkatkan pengalaman dalam bidang kraf tangan seperti embroidery atau lebih dikenali seni sulaman.
Selain itu, Uthman A’zim bin Zulkifli selaku Pengarah Program Pasar Karya Adiwarna,dengan tagline Beyond Craft – Creativity into Profit, menyatakan penghargaan kepada rakan kerjasama dan penaja iaitu BFF Medispa yang menjadi tulang belakang di samping adanya barisan ahli jawatankuasa pelaksana program yang turut sama atas kejayaan berlangsungnya program ini.
Di samping itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada panel jemputan dan semua peserta atas penyertaan serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.



Beliau berharap agar program Pasar Karya Adiwarna, “Beyond Craft – Creativity into Profit” ini dapat membantu mahasiswa/i dalam menjadikan bidang sulaman serta kraf tangan ini sebagai antara peluang atau laluan dalam menjana pendapatan sekaligus mengaut keuntungan.
“Kejayaan sesuatu program bukan hanya hasil bakat individu, tetapi lahir daripada kerjasama, disiplin dan kesungguhan seluruh pasukan apabila semua pihak berganding bahu, kejayaan pasti dapat digapai bersama”, ujar beliau.
Salah satu tarikan utama program ini ialah kehadiran dua orang panel jemputan yang begitu berpengalaman dalam bidang keusahawanan ini.
Panel yang pertama iaitu Puan Siti Nur Amalina yang merupakan pempengaruh sulaman atau lebih dikenali sebagai pengasas STYLAR EMBROIDERY telah tampil dalam program ini bagi berkongsi ilmu dan teknik serta pengalaman dalam bidang tersebut kepada para peserta melalui sesi Embroidery Creative Session.
Tidak dilupakan juga program ini diserikan lagi dengan kehadiran seorang lagi panel jemputan yang tidak asing dalam kalangan usahawan kopi di Tanjong Malim iaitu Ahmad Shahmi yang merupakan pengasas FOTOKOPI MALIM yang juga berkongsi pengalaman pahit dan manisnya serta cabarannya dalam membangunkan perniagaan FOTOKOPI MALIM daripada seorang pelajar sehingga menjadi usahawan berjaya seperti dilihat pada hari ini.



Menurut Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid yang merupakan pihak penganjur, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa/i mempamerkan bakat, malah membantu mereka memahami potensi menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan.
Yuran penyertaan bagi aktiviti sulaman ditetapkan sebanyak RM30 bagi memastikan akses yang berpatutan kepada semua.
Para peserta yang menyertainya diberikan embroidery kit, totebag, e-sijil dan sarapan pagi. Program ini dihangatkan lagi dengan pemberian voucher diskaun daripada Fotokopi Malim kepada 100 orang yang terawal.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak penaja seperti BFF Medispa dan Stylar Embroidery serta sokongan daripada pelbagai pihak dalam menjayakan objektif pembangunan mampan, khususnya dalam aspek keusahawanan dan inovasi.
Secara keseluruhannya, Pasar Karya Adiwarna berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa/i serta memperkasa industri kreatif di peringkat universiti.
Diharapkan program berbentuk kreatif dan keusahawanan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan ke peringkat yang lebih tinggi agar menjadi pemangkin serta menyuntik semangat mahasiswa IPTA/IPTS serta masyarakat secara berterusan.
Pendekatan interaktif serta kehadiran para panel yang begitu berpengalaman dan berpengaruh telah menjadikan program ini dapat memberikan impak yang positif dalam membentuk mahasiswa/i yang kreatif dan mempunyai jiwa keusahawanan dalam diri mereka sendiri.
Program berakhir sekitar jam 5 petang, di samping adanya sesi fotografi bersama semua yang hadir.
