Oleh: Mursyliha Farisha

TANJONG MALIM, 9 April – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program KHAR Convergence: Leadership Exchange 2.0 sebagai inisiatif memperkukuh pembangunan kepimpinan mahasiswa secara holistik.

Program ini berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas, Tanjong Malim (PAWE) serta di Dewan Harun Aminurrashid, UPSI dengan penglibatan strategik delegasi JKPSRS INASIS Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Penganjuran ini mencerminkan kesepaduan aspirasi antara kedua-dua institusi dalam melahirkan mahasiswa yang cemerlang dari segi intelektual, sahsiah dan kepimpinan.

MMKHAR UPSI bersama JKPSRS Inasis Bank Rakyat, UUM
Kemeriahan suasana aktviti santun warga emas di PAWE
Keceriaan warga emas di PAWE semasa aktiviti dijalankan bersama JKPSRS Inasis Bank Rakyat, UUM dan MMKHAR UPSI

Kehadiran delegasi UUM turut memperluas interaksi rentas institusi melalui perkongsian wacana ilmiah, amalan terbaik serta pembinaan jaringan strategik yang mampan.

Pengisian program dimulakan dengan aktiviti CSR bersama warga emas melalui senamrobik dan sukaneka secara interaktif dan mesra peserta.

Aktiviti ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan emosi warga emas, malah menyemai nilai empati, keprihatinan sosial dan tanggungjawab sivik dalam kalangan mahasiswa.

Program kemudiannya diteruskan di Dewan Harun Aminurrashid dengan ucapan wakil kolej, sesi taklimat korporat yang memperincikan profil organisasi serta struktur pentadbiran, diikuti sesi dialog dua hala yang memfokuskan pembangunan kemahiran insaniah, kepimpinan mahasiswa dan cabaran semasa generasi muda.

Sesi jaringan antara dua organisasi mahasiswa
Kedua-dua pihak berdiskusi dengan penuh profesionalisme dan berwibawa
Sesi penyampaian penghargaan buat kedua-dua organisasi

Kemuncak program diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada wakil delegasi serta sesi fotografi sebagai simbol penghargaan dan pengukuhan hubungan antara kedua-dua institusi.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya menjadi platform strategik dalam memperkukuh sinergi antara institusi serta melahirkan pemimpin mahasiswa yang berintegriti, berdaya saing dan berkeupayaan tinggi dalam mendepani cabaran masa hadapan.