Oleh : Faizul Juhanis
TANJONG MALIM, 12 April 2026 – Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan program bertaraf antarabangsa, International Intellectual Discourse UPSI 2026 pada Ahad lalu.
Bertemakan “Building Resilient Minds for a Stronger Youth”, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental dan tekanan akademik yang dihadapi oleh mahasiswa di rantau Asia melalui pendekatan Pembelajaran Sosial Emosi (SEL).
Dialog interaktif tersebut telah berjaya menghimpunkan barisan panel pakar dan ikon Gen Z dari lima buah negara iaitu Kyrgyzstan, Indonesia, Amerika Syarikat, Singapura, dan Malaysia.
Antara barisan panel utama yang memeriahkan sesi tersebut termasuklah Dr. Hazli Zakaria (Malaysia), Encik Jerren Lim (Indonesia), Encik Kennard Tay (Singapura), Cik Makenzie Nathan (Amerika Syarikat), dan Cik Nagima Zhumakadyrova (Kyrgyzstan).

Program yang berlangsung sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform Google Meet dan YouTube ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 orang yang merangkumi mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan orang awam.
“Program ini bukan sekadar dialog, malahan ia merupakan satu usaha berterusan untuk mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental serta memupuk sikap empati dalam kalangan mahasiswa di universiti,” ujar pengarah program, Nur Evanda binti Azmal Hamid.
Program ini turut selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasakan agenda Kesejahteraan Mahasiswa.
Inisiatif ini telah menyokong usaha KPT untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malahan mempunyai daya tahan yang tinggi dan kestabilan emosi yang baik.
Melalui penerapan elemen Social Emotional Learning (SEL), mahasiswa didorong untuk menjadi modal insan yang kompetitif di peringkat global tanpa menjejaskan kesihatan mental mereka.
Sesi pertama yang bertajuk “From Struggle to Strength: Managing Academic Stress and Anxiety” telah mengupas realiti landskap akademik masa kini yang sering kali meletakkan mahasiswa dalam ‘mod bertahan hidup’ (survival mode).
Panel dari Singapura, Encik Kennard Tay, menegaskan bahawa tekanan digital, terutama menerusi sikap suka membandingkan diri sendiri dengan pencapaian orang lain di media sosial menyebabkan mereka berasa tidak bersyukur dan akhirnya membawa kepada tekanan mental.
Menelusuri slot kedua, perbincangan beralih kepada topik “Youth Resilience and Mental Well-Being in a High-Pressure World”. Dr. Hazli Zakaria, pakar kesihatan mental dari Malaysia, mendefinisikan ketabahan (resilience) bukan sekadar kemampuan untuk bertahan, malahan kebolehan untuk menyesuaikan diri dan bangkit semula daripada kegagalan dengan menguruskan emosi secara berkesan.
Beliau menekankan bahawa belia perlu ada sikap tidak mudah berputus asa dan melihat kegagalan sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran diri. Sikap ini menjadikan belia lebih kuat berusaha untuk memajukan diri walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Wakil Indonesia, Encik Jerren Lim, turut berkongsi perspektif mengenai tekanan mental yang dihadapi belia, termasuklah sikap takut untuk mengecewakan harapan orang lain dan tekanan untuk kelihatan sempurna di media sosial.
Beliau juga menegaskan kepentingan mengimbangi tanggungjawab akademik dan kehidupan peribadi untuk mencapai kejayaan. Hal ini termasuklah mendapat tidur yang mencukupi, bersenam, meluangkan masa dengan keluarga dan makan secara teratur.
Tegasnya, pemeliharaan kesihatan mental seharusnya tidak lagi dipandang sipi, sebaliknya diangkat sebagai agenda utama dalam kehidupan setiap mahasiswa. Kita perlu sedar bahawa kecemerlangan akademik yang bersifat luaran tidak akan membawa makna yang hakiki sekiranya aspek dalaman atau kesejahteraan jiwa diabaikan.
Secara keseluruhannya, International Intellectual Discourse UPSI 2026 berjaya menjadi platform perbincangan idea yang menghubungkan perspektif dari pelbagai negara dalam satu ruang dialog yang inklusif mengenai kesihatan mental.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ketahanan minda dalam kalangan belia serta membentuk komuniti yang lebih prihatin, empati dan berdaya saing dalam mendepani tekanan dalam kalangan belia pada masa kini.



Seiring dengan Hasrat Pengetua Kolej Harun Aminurrashid dan pihak pentadbiran yang mendukung aspirasi melahirkan mahasiswa berfikiran kritis dan berwawasan global serta membentuk pelajar yang berdaya tahan, berkeyakinan dan seimbang. Program ini dapat memberi impak kepada Pembangunan Mahasiswa dan mengukuhkan jati diri dan daya tahan dalam menghadapi tekanan.
Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini terutamanya barisan panel jemputan, pihak pentadbiran Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah memberikan komitmen dan kerjasama luar biasa sepanjang penganjuran program ini. Tidak lupa juga kepada 2,200 lebih penonton yang menonton diskusi ilmiah ini, terima kasih diucapkan.

