Oleh: Nur Fatin Akmal
TANJONG MALIM, 11 APRIL 2026 – Exco Blok Kediaman 2, Majlis Mahasiswa Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Program Simfoni Ketupat: Warisan yang Terjalin yang berlangsung di KHAR Central.
Program berbentuk aktiviti menganyam ketupat ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penghuni kolej.
Program ini dianjurkan bagi memperkenalkan semula kemahiran tradisional menganyam ketupat kepada mahasiswi serta aktiviti ini memberi peluang kepada peserta supaya dapat mempelajari teknik asas anyaman.
Ini juga bertujuan memupuk penghargaan terhadap warisan budaya Melayu yang semakin jarang dipraktikkan oleh generasi muda masa kini.
Pertandingan menganyam ketupat yang dijalankan menilai hasil peserta berdasarkan beberapa kriteria iaitu bilangan ketupat yang dihasilkan, kekemasan anyaman, kreativiti, bentuk serta kesempurnaan hasil.
Melalui pertandingan ini, peserta dapat menunjukkan kemahiran serta kreativiti masing-masing dalam menghasilkan anyaman ketupat yang kemas dan menarik.
Menurut Pengarah Program iaitu Saudari Mursliha Farisha binti Darussamin, beliau meluahkan rasa syukur atas penyertaan serta kerjasama yang diberikan oleh para peserta dan ahli jawatankuasa dalam menjayakan program tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa kemahiran menganyam ketupat merupakan salah satu warisan tradisional yang semakin kurang diketahui oleh generasi muda pada masa kini.
Sementara itu, perasmi program, Puan Nurul Najwa binti Mohamad dalam ucapannya pula menyatakan bahawa aktiviti seperti ini amat wajar diteruskan kerana mampu memupuk rasa cinta terhadap budaya dan tradisi masyarakat.


Beliau berharap agar program seumpama ini dapat menjadi medium kepada mahasiswi untuk mengenali serta menghargai warisan budaya tempatan.
Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja dapat menghidupkan semula tradisi lama, malah memberi peluang kepada mahasiswi untuk mempelajari kemahiran yang mungkin tidak lagi dipraktikkan secara meluas dalam kehidupan seharian,” katanya.
Secara keseluruhannya, Program Simfoni Ketupat: Warisan yang Terjalin berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkenalkan semula kemahiran tradisional menganyam ketupat kepada mahasiswi di samping memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya masyarakat Melayu.
Melalui penyertaan yang memberangsangkan serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta, program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menonjolkan kreativiti, malah mengeratkan hubungan dalam kalangan penghuni kolej.


Usaha ini diharap dapat memastikan seni anyaman ketupat terus dipelihara oleh generasi muda yang sekali gus menjadikan Simfoni Ketupat sebagai simbol penyatuan kreativiti, tradisi dan kebersamaan dalam meraikan warisan budaya.

