Oleh: Siti Nadiah Halimah Md Shah, Conielia Anak Charlie
TANJUNG MALIM, 12 April 2026 – Off-Campus Festival 2026 (OC Fest 2026) anjuran Majlis Mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus (MMK UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari bermula 9 hingga 12 April 2026 bertempat di Tapak Pesta KAB, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA), Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, manakala majlis penutupan telah disempurnakan oleh ASP/PB Mohd Fairuz bin Mislan, Ketua Bahagian Keselamatan UPSI. Program ini turut dibimbing oleh Penasihat Program, Puan Siti Nadiah Halimah binti Md Shah, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program.



Penganjuran OC Fest 2026 merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang memperkukuh ekosistem keusahawanan kampus berasaskan pengalaman (experiential learning), dengan mahasiswa bertindak sebagai penyelaras utama yang mengurus keseluruhan aspek pelaksanaan termasuk logistik, penyelarasan vendor, aliran program dan pengisian aktiviti.
Mengangkat konsep FoodFest, program ini berjaya menghubungkan pengusaha dan penggerai dengan warga kampus serta komuniti setempat, sekali gus mewujudkan platform keusahawanan mikro yang dinamik dan inklusif. Sepanjang program, sebanyak 10 aktiviti utama telah dilaksanakan merangkumi elemen keusahawanan, hiburan, kesihatan dan komuniti, yang berjaya meningkatkan keterlibatan serta pengalaman pengunjung.
Program ini berjaya membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menjana sumber kewangan melalui penajaan strategik serta pengurusan kolaborasi pelbagai pihak. Ia turut meningkatkan keyakinan diri, kemahiran kepimpinan serta kebolehpasaran graduan selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik.


Dalam ucapan penutup, Pengarah Program, Conielia Anak Charlie, menyifatkan program ini membuktikan keupayaan mahasiswa sebagai peneraju program berimpak tinggi.
“OC Fest 2026 bukan sekadar sebuah program, tetapi ruang kebersamaan yang membuktikan bahawa mahasiswa mampu mengurus, merancang dan melaksanakan program berimpak tinggi.”
Sementara itu, perasmi penutup, ASP/PB Mohd Fairuz bin Mislan, turut menegaskan nilai pembangunan sahsiah yang dibawa oleh program ini:
“Program seperti ini bukan sahaja membina kemahiran kepimpinan, malah memperkukuh nilai kerjasama dan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.”
Para pemenang cabutan bertuah Bersama penaja Meem Gold & Penyanyi jemputan Tegar Septian
UKLK turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat khususnya penaja utama MEEM Gold, rakan kerjasama Stailo Event serta Kelab E-Sport UPSI atas sokongan berterusan sepanjang pelaksanaan program.


Secara keseluruhannya, OC Fest 2026 berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memperkukuh peranan mahasiswa dalam ekosistem keusahawanan kampus serta membuktikan keupayaan mereka sebagai penggerak utama program berimpak tinggi yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
