Oleh: Irdina Wafa Zulkifli
Tanjong Malim, 4 April 2026 – Program “Satu Ringgit, Satu Hati” telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat kerjasama dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) serta komuniti setempat.
Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang berfokuskan hubungan sosial dan khidmat komuniti. Antaranya termasuk sesi interaktif dan ramah mesra bersama komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), yang bertujuan memupuk nilai empati serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa terhadap golongan tersebut.
Selain itu, peserta turut melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pembersihan surau di pusat jagaan, sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan selesa. Suasana muhibah juga jelas terpancar menerusi sesi memasak secara rewang yang melibatkan kerjasama erat antara ahli jawatankuasa program.



Lebih membanggakan, hasil inisiatif program ini telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM1,000.00 daripada warga UPSI, yang kemudiannya disampaikan kepada Pusat Jagaan OKU Titian An-Nur, Rawang sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kebajikan penghuni pusat tersebut.
Majlis penutupan turut diadakan dengan sesi penyerahan sumbangan kepada pihak pusat jagaan, sekali gus menjadi simbolik kepada kejayaan program ini dalam menyatukan usaha kebajikan mahasiswa dan masyarakat.
Menurut Pengetua UKLK, Prof. Madya Ts Dr. Che Ghani bin Che Kob, program seumpama ini memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah mahasiswa.
“Program ‘Satu Ringgit, Satu Hati’ bukan sekadar aktiviti kebajikan, tetapi satu platform untuk membina nilai kemanusiaan, empati dan tanggungjawab sosial dalam diri mahasiswa. Saya amat bangga melihat komitmen dan kesungguhan pelajar dalam menjayakan program ini,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki jiwa yang prihatin terhadap masyarakat.
Saudara Khairil selaku Pengarah Program berpendapat bahawa program ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada para mahasiswa UPSI untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Program ini memberi pengalaman yang sangat bermakna kepada kami sebagai mahasiswa. Kami bukan sahaja dapat menyumbang kepada masyarakat, tetapi juga belajar untuk lebih menghargai kehidupan dan memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti OKU,” katanya.


Wakil Pusat Jagaan OKU Titian An-Nur, Rawang, En. Amirul menyatakan penghargaan kepada pihak UKLK, UPSI atas inisiatif menjayakan program ini.
“Kami amat berterima kasih atas kehadiran dan sumbangan daripada pihak UKLK dan warga UPSI. Program seperti ini bukan sahaja membantu dari segi material, tetapi juga memberi sokongan moral yang sangat besar kepada penghuni di sini,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai nilai kesukarelawanan serta memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat.
