Oleh: Yusrina Aisyah Mohd Yusri dan Naili Inayah Wulandari

KUALA LUMPUR, 17 April 2026 – Suasana penuh emosi menyelubungi majlis penutupan Program Inbound Mobility antara Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang melabuhkan tirainya selepas 14 hari berlangsung, bermula 7 hingga 20 April 2026 secara hibrid.

Rangkaian penutupan program bermula seawal pagi apabila para peserta bertolak dari rumah tamu Kolej Aminuddin Baki menuju ke kampus lama UPSI.

Setibanya di lokasi, program dimulakan dengan sarapan pagi bersama dalam suasana yang hangat dan penuh keakraban.

Momen sederhana ini menjadi ruang terakhir untuk semua peserta dan pihak penganjur berkumpul tanpa batasan formal, menikmati kebersamaan sebelum tirai program dilabuhkan secara rasmi.

Ucapan daripada wakil UMBY
Ucapan daripada wakil UMBY
Sesi Fotografi bersama warga UPSI dan UMBY

Seterusnya, acara diteruskan dengan sesi ucapan daripada pelbagai pihak. Dr. Sarina Yusup selaku Ketua Jabatan Komunikasi dan Media menyampaikan penghargaan atas penglibatan aktif mahasiswa sepanjang program berlangsung, di samping menekankan kepentingan pertukaran budaya dan pengalaman antarabangsa dalam membentuk pembangunan diri pelajar.

Ucapan turut disusuli oleh Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin dari pihak UPSI yang meluahkan rasa bangga terhadap kelancaran program serta hubungan erat yang terjalin.

Dari pihak UMBY pula, Dr. M. Nastain merakamkan penghargaan atas layanan mesra yang diberikan sepanjang keberadaan mereka di Malaysia.

Wakil mahasiswa UMBY, M. Zuhri, turut berkongsi pengalaman mewakili peserta lain, menyifatkan program ini sebagai satu perjalanan bermakna yang bukan sahaja memperluas pengetahuan akademik, malah mengeratkan hubungan persahabatan merentasi negara.

Hubungan yang pada awalnya bersifat formal jelas berkembang menjadi lebih akrab, seolah-olah sebuah keluarga yang terjalin dalam tempoh yang singkat.

Kemuncak acara di kampus lama UPSI diserikan dengan majlis penyampaian sijil dan cenderamata kepada para peserta.

Momen ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap penglibatan aktif mahasiswa, malah menandakan berakhirnya secara rasmi keseluruhan program. Suasana sebak dan bangga jelas terpancar dalam kalangan peserta yang menerima sijil sebagai tanda pengalaman berharga yang telah dilalui.

Menariknya, perpisahan ini turut diibaratkan seperti bait lagu “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” oleh Nadhif Basalamah yang menggambarkan perasaan kehilangan dan kerinduan apabila insan yang dekat terpaksa berpisah, meskipun kenangan yang tercipta kekal tersemat dalam ingatan.

Dalam suasana penuh emosi itu, bukan ungkapan “selamat tinggal” yang menjadi pilihan, sebaliknya “jumpa lagi” lebih menggambarkan harapan untuk bertemu semula.

Malah, ada yang mula merancang pertemuan semula pada masa hadapan, sama ada dalam konteks akademik mahupun kunjungan peribadi, membuktikan bahawa program ini membuka ruang kepada kerjasama jangka panjang.