Sesi bergambar bersama pelajar dan pensyarah UPSI serta UMBY selepas tamat kuliah tamu.Sesi bergambar bersama pelajar dan pensyarah UPSI serta UMBY selepas tamat kuliah tamu.

Oleh: Nur Adlina Aiman & Andika Saputra

TANJONG MALIM: Perkongsian kuliah tamu bersempena program mobiliti pelajar dari Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY), Indonesia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kerjasama akademik serantau melalui satu sesi perkongsian ilmu berkaitan komunikasi politik.

Sesi tersebut disampaikan oleh Dr. Muhamad Nastain, pensyarah dari Universitas Mercu Buana Yogyakarta, yang membawakan topik bertajuk “Political Communication: System and Future Prospects for Islamic Political Parties in Indonesia.”

Perkongsian ini memberi pendedahan kepada pelajar UPSI mengenai sistem politik Islam di Indonesia serta cabaran dan hala tuju parti-parti berasaskan Islam dalam landskap politik semasa.

Dr. M. Nastain berkongsi tentang politik Islam di Indonesia bersama pelajar UPSI.
Pelajar UPSI menghadiri sesi perkongsian ilmu bersama Dr. M. Nastain mengenai politik Islam di Indonesia
Pensyarah dan Pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI mengajukan soalan dalam sesi perkongsian bersama Dr. M. Nastain.

Selain itu, sesi ini turut membuka ruang perbincangan mengenai perbezaan dan persamaan pendekatan Islam antara Malaysia dan Indonesia.

Perkongsian ini memberi perspektif baharu kepada pelajar dalam memahami bagaimana agama dan politik berinteraksi dalam konteks dua negara serumpun.

Program menjadi lebih interaktif apabila diakhiri dengan sesi soal jawab (Q&A) yang melibatkan pelajar UPSI serta pensyarah dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Pelbagai soalan dikemukakan, termasuk isu berkaitan peranan generasi muda, cabaran globalisasi dan masa depan politik Islam di rantau ini.

Sebagai tanda penghargaan atas kesudian menyampaikan kuliah tamu, pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menyampaikan cenderamata kepada Dr. M. Nastain.

Penyerahan cenderamata ini menjadi simbol penghormatan serta penghargaan terhadap sumbangan ilmu yang diberikan, di samping mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua institusi dalam menjayakan program mobiliti antarabangsa ini.

Pensyarah dan Pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI mengajukan soalan dalam sesi perkongsian bersama Dr. M. Nastain.
Dr. M. Nastain menerima cenderamata daripada UPSI sebagai tanda penghargaan.

Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi, malah turut menjadi platform penting untuk memperluas jaringan antarabangsa serta pertukaran ilmu secara lintas budaya. Kehadiran pensyarah dari Indonesia seperti Dr. M. Nastain jelas memberi impak positif kepada pemahaman pelajar terhadap dinamika politik serantau, khususnya dalam konteks dunia Islam.

Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pelajar dan pensyarah, sekali gus memperkukuh lagi kerjasama strategik antara Universitas Mercu Buana Yogyakarta dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Secara keseluruhannya, sesi kuliah tamu ini berjaya mencapai objektifnya sebagai medium perkongsian ilmu dan pengalaman, serta membuka ruang dialog yang konstruktif dalam kalangan warga akademik kedua-dua negara.