Oleh: Ruzaimah Rahaman, Fazilah Zakaria, Fazwin Zulkifli, Norzid Firusi
Tanjong Malim, 4 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan rasmi daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang melibatkan delegasi seramai 12 orang kakitangan terdiri daripada kakitangan pengurusan & profesional dan sokongan. Kunjungan ini menjadi platform bermakna dalam memperkukuh perkongsian strategik serta meneroka peluang kolaborasi dalam bidang latihan, cuti belajar dan pengkomersialan.
Delegasi UMS diketuai oleh Cik Kamisah binti Husin, Pengarah Bahagian Kompetensi dan Pembangunan Bakat (BKePT), manakala pihak UPSI diwakili oleh Puan Anis Azlira binti Ali, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia (BSM).


Kunjungan ini bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara institusi serta membuka ruang kepada pertukaran idea, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan latihan, pengkomersialan dan cuti belajar kakitangan. Sepanjang sesi berlangsung, kedua-dua pihak berkongsi maklumat berkaitan proses kerja, cabaran semasa serta inisiatif penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan di institusi masing-masing.
Selain itu, kedua-dua institusi turut bertukar pandangan berkaitan pelaksanaan latihan dan potensi pengkomersialan perkhidmatan. Perbincangan yang berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif ini berjaya mencetuskan idea baharu serta membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih dinamik.
Antara fokus utama perbincangan ialah sistem pemantauan latihan dan cuti belajar, pengurusan rekod serta dokumentasi, pemasaran dan penjanaan kewangan, selain pendekatan inovatif dalam memastikan kelancaran urusan pentadbiran. Perkongsian tersebut secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Di samping itu, sesi ini turut menjadi platform untuk membina jaringan kerjasama strategik antara UPSI dan UMS, khususnya dalam memperkasakan tadbir urus berkaitan pembangunan sumber manusia menerusi program latihan dan cuti belajar.


Program turut diperkaya dengan lawatan ke Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI yang memberi peluang kepada delegasi meninjau fasiliti serta persekitaran kampus yang kondusif dan dinamik.
Diharapkan kunjungan ini akan terus memperkukuh amalan terbaik serta mencetuskan idea-idea baharu yang lebih inovatif demi kecemerlangan pengurusan pada masa hadapan.
Selari dengan semangat “Perkongsian Strategik, Inspirasi Berterusan”, kunjungan ini bukan sekadar lawatan rasmi, malah menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih kukuh, progresif dan berimpak tinggi antara UMS dan UPSI.

