Ahli panel bergambar bersama staf Penerbit UPSIAhli panel bergambar bersama staf Penerbit UPSI

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 –Sembang Buku Jurulatih Bola Sepak Malaysia: Isu, Cabaran, Keilmuan dan Hala Tuju Masa Hadapan telah berlangsung di Republika Merah, Reruai MAPIM, Dewan Tun Dr. Ismail, Pavilion MAPIM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Program yang berlangsung selama satu jam itu menampilkan Prof. Madya Dr. Zulkabal Abd Karim dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Dr. Mohd Firdaus Abdullah dari Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya sebagai panel utama. Turut hadir sebagai tetamu jemputan khas ialah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Encik Azman Adnan.

Dalam pembentangannya, Dr. Mohd Firdaus Abdullah menjelaskan bahawa terdapat empat elemen utama yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang terlibat dalam bidang kejurulatihan dan pembangunan atlet, khususnya dalam sukan bola sepak, iaitu ilmu, kemahiran, keupayaan dan akhlak.

Menurut beliau, ilmu menjadi asas kepada segala bentuk pembangunan kerana seseorang jurulatih perlu memahami prinsip latihan, sains sukan, psikologi serta perkembangan terkini dalam bola sepak. Kemahiran pula merujuk kepada kebolehan mengaplikasikan ilmu tersebut dalam situasi sebenar seperti merancang latihan, mengurus pasukan dan membangunkan potensi pemain.

“Keupayaan pula melibatkan kemampuan seseorang jurulatih untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa, membuat keputusan yang tepat serta memimpin pasukan dalam pelbagai keadaan. Namun begitu, ketiga-tiga elemen ini perlu diseimbangkan dengan akhlak yang baik kerana jurulatih bukan sahaja bertanggungjawab membentuk pemain yang cemerlang di atas padang, malah turut berperanan membina sahsiah dan nilai diri pemain,” katanya.

Beliau menambah bahawa pembangunan sukan yang mampan perlu digerakkan oleh individu yang mempunyai keseimbangan antara kecemerlangan profesional dan nilai kemanusiaan agar mampu melahirkan atlet yang berkualiti serta berintegriti.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Encik Azman Adnan berkongsi pengalaman beliau dalam perjalanan membina kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional. Menurut beliau, kejayaan yang dicapai sepanjang kariernya banyak dipengaruhi oleh guru-guru sekolah yang sentiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar sejak usia muda.

“Saya banyak menimba ilmu dan mendapat bimbingan daripada Cikgu Yusof dan Cikgu Hasnan. Mereka bukan sahaja mengajar saya mengenai bola sepak, malah menjadi individu yang sentiasa memberikan motivasi dan membentuk disiplin diri saya sehingga berjaya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Azman menjelaskan bahawa terdapat empat faktor utama yang mendorong beliau menjadi pemain profesional iaitu minat yang mendalam terhadap bola sepak, latihan yang konsisten, disiplin yang tinggi dan pemakanan yang seimbang. Menurut beliau, bakat semata-mata tidak mencukupi tanpa usaha berterusan dan pengorbanan dalam menjaga gaya hidup sebagai seorang atlet.

Dalam sesi tersebut, beliau turut mengulas mengenai hala tuju pembangunan bola sepak negara dengan menyarankan agar Malaysia mengambil lebih banyak contoh daripada negara-negara Asia Timur seperti Jepun berbanding terlalu bergantung kepada model pembangunan bola sepak Barat.

Menurut beliau, faktor fizikal dan struktur tubuh pemain Asia yang lebih hampir dengan rakyat Malaysia menjadikan pendekatan Jepun lebih sesuai untuk dijadikan rujukan.

“Kita perlu belajar daripada Jepun kerana mereka mempunyai susuk tubuh dan saiz badan yang hampir sama dengan rakyat Malaysia. Walaupun tidak memiliki fizikal yang besar seperti pemain Eropah, mereka berjaya membangunkan bola sepak mereka melalui disiplin, sistem pembangunan yang tersusun, penguasaan teknik dan budaya kerja yang tinggi,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa pendekatan tersebut lebih realistik untuk diterapkan dalam pembangunan bola sepak Malaysia berbanding meniru sepenuhnya model Barat yang banyak bergantung kepada kelebihan fizikal dan kekuatan badan pemain.

Sementara itu, penulis utama buku berkenaan, Prof. Madya Dr. Zulkabal Abd Karim berkata hasrat beliau menghasilkan buku Jurulatih Bola Sepak Malaysia: Isu, Cabaran, Keilmuan dan Hala Tuju Masa Hadapan adalah untuk menyediakan satu panduan komprehensif kepada semua jurulatih bola sepak di Malaysia.

Menurut beliau, buku tersebut ditulis berdasarkan pengalaman, penyelidikan dan pemerhatian terhadap perkembangan semasa dunia kejurulatihan bagi membantu meningkatkan tahap profesionalisme jurulatih tempatan.

“Saya berharap buku ini dapat menjadi rujukan kepada jurulatih profesional, bakal jurulatih, pemain yang ingin menceburi bidang kejurulatihan, guru-guru sukan serta sesiapa sahaja yang berminat dalam pembangunan bola sepak negara,” katanya.

Buku yang mengandungi lapan bab itu dihasilkan sebagai alat dan panduan kepada para jurulatih bola sepak Malaysia dalam usaha mengembangkan kerjaya mereka secara lebih sistematik dan profesional. Kandungannya merangkumi pelbagai aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam proses pembinaan kerjaya kejurulatihan termasuk pendidikan, latihan, motivasi, komunikasi, kepimpinan serta pembangunan profesional berterusan.

Selain itu, buku tersebut turut membincangkan pelbagai isu dan cabaran semasa yang dihadapi oleh jurulatih di Malaysia, di samping mengetengahkan pendekatan keilmuan yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan latihan dan pembangunan pemain.

Ahli panel mengupas buku Jurulatih Bola Sepak Malaysia

Menurut Dr. Zulkabal, penerbitan buku ini juga bertujuan menyediakan salah satu sumber rujukan kejurulatihan terkini yang diterbitkan khusus untuk jurulatih bola sepak tempatan dalam usaha meningkatkan potensi, kompetensi dan kerjaya mereka. Beliau percaya bahawa pembangunan jurulatih yang berkualiti akan memberi impak besar kepada pembangunan pemain, pasukan dan seterusnya kemajuan bola sepak negara secara keseluruhan.

Program anjuran bersama Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris , MAPIM dan Kementerian Pendidikan Tinggi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung PBAKL 2026 yang terdiri daripada ahli akademik, guru, pelajar, jurulatih dan peminat bola sepak.

Penganjur berharap program seperti ini dapat menjadi platform penting untuk memperkukuhkan budaya ilmu dalam dunia sukan serta menggalakkan lebih banyak penerbitan ilmiah yang mampu menyumbang kepada pembangunan bola sepak Malaysia pada masa hadapan.