Oleh: Muhammad Nazrin Shah Bin Azizi

TANJONG MALIM, 13 Mei 2026 – Suasana Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki (KAB) menjadi lebih meriah dengan penganjuran Ayam Gepuk Artisan Challenge, sebuah program berkonsepkan cabaran makanan pedas yang berjaya menarik perhatian warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa dan pengunjung kerana menampilkan konsep unik yang jarang diketengahkan di kampus. Malah, program ini turut mencipta kelainan apabila menjadi antara cabaran makanan pedas pertama yang pernah dianjurkan di UPSI. Penganjuran program ini dilihat sebagai satu inisiatif kreatif dalam mewujudkan aktiviti santai yang mampu menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai kolej kediaman dan fakulti dalam suasana yang menyeronokkan.

Program dimulakan dengan sesi bergambar melibatkan pihak penaja utama iaitu Ayam Gepuk Artisan dan Cha Galau bersama jawatankuasa pelaksana serta para peserta. Kehadiran pelbagai pihak dalam menjayakan program ini jelas memperlihatkan semangat kerjasama antara organisasi luar dan mahasiswa dalam menghasilkan aktiviti yang santai namun mampu menarik penyertaan ramai. Sesi ini turut menjadi simbol penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh para penaja yang banyak membantu memastikan kelancaran program dari aspek logistik, penyediaan hadiah dan promosi.

Selain menjadi platform hiburan, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran pengurusan program melalui penglibatan secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti. Jawatankuasa pelaksana memainkan peranan penting dalam memastikan setiap perjalanan program berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Pengalaman menguruskan program seperti ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah dalam kalangan mahasiswa.

Kemuncak program pastinya tertumpu kepada cabaran makan ayam gepuk sambal extra pedas yang disertai seramai 15 orang peserta. Para peserta perlu menghabiskan hidangan yang disediakan dan bertahan selama dua minit tanpa meminum air. Cabaran tersebut berjaya mencetuskan suasana gamat dan mencuit hati penonton apabila peserta cuba menahan kepedasan sambal sambil memberikan pelbagai reaksi spontan yang menghiburkan. Sorakan daripada penonton turut menambahkan lagi kemeriahan sepanjang pertandingan berlangsung.

Menurut Pengarah Program Ayam Gepuk Artisan Challenge, Muhammad Reeza Fahmi bin Pauzi, program tersebut dianjurkan bagi menyediakan platform hiburan yang sihat dan interaktif kepada warga UPSI di samping mengeratkan hubungan antara mahasiswa melalui aktiviti yang menyeronokkan. Beliau berkata, konsep cabaran makanan pedas dipilih kerana mampu menarik minat pelajar serta mewujudkan suasana yang santai dan meriah dalam kalangan peserta dan penonton. Tambah beliau, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan membuktikan bahawa mahasiswa sentiasa terbuka untuk menyertai program yang kreatif serta mempunyai elemen hiburan yang positif.

Setiap peserta menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun berdepan tahap kepedasan yang mencabar. Ada dalam kalangan peserta yang berjaya mengekalkan ketenangan, manakala ada juga yang tidak dapat menyembunyikan reaksi kepedasan mereka sehingga mencetuskan gelak tawa dalam kalangan penonton. Situasi tersebut menjadikan program lebih interaktif dan menghiburkan, sekali gus mewujudkan suasana mesra yang mengeratkan hubungan antara peserta dan penonton.

Selain pertandingan utama, para pengunjung turut mengambil peluang untuk berinteraksi dengan pihak penaja dan mendapatkan maklumat mengenai produk yang ditawarkan. Kehadiran Ayam Gepuk Artisan dan Cha Galau bukan sahaja menambah kemeriahan program, malah membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengenali produk tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna. Kolaborasi seperti ini juga dilihat mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui perkongsian idea dan peluang kerjasama pada masa akan datang.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang tempat pertama yang berjaya menamatkan cabaran dengan cemerlang. Kemenangan tersebut menjadi simbol keberanian dan semangat daya tahan peserta dalam menghadapi cabaran yang disediakan. Para pemenang menerima hadiah yang disampaikan oleh wakil penganjur dan penaja sebagai penghargaan atas usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.

Secara keseluruhannya, Ayam Gepuk Artisan Challenge berjaya mencipta pengalaman baharu kepada warga UPSI melalui pendekatan program yang kreatif dan interaktif. Program ini bukan sahaja menawarkan elemen hiburan, malah berjaya menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa, komuniti kampus dan pihak penaja dalam suasana yang santai. Penganjuran program seperti ini dilihat mampu menyemarakkan kehidupan kampus dengan aktiviti yang lebih pelbagai dan menarik, di samping memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman berharga dalam aspek pengurusan program, komunikasi dan kerjasama berpasukan.