Oleh : Dr. Siti Nursaila Alias, Dr. Anis Diyana Halim, Dr. Anis Nazihah Mat Daud, Dr. Mohd Norzaidi Mat Nawi dan Encik Noor Mazlan Mohamed
Tanjong Malim, 4 Julai – Bengkel Pemikiran Reka Bentuk (Design Thinking) Berbantukan Arduino dan Kecerdasan Buatan (AI) telah dilaksanakan hari ini dengan penglibatan empat orang guru dari SMK Seri Saujana, Kuala Lumpur sebagai peserta bagi fasa awal pelaksanaan kajian di bawah Geran Penyelidikan Transformasi Holistik 2026.
Bengkel yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini dimulakan dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi sebelum diteruskan dengan pengenalan kepada konsep pemikiran reka bentuk yang menekankan lima fasa utama, iaitu empati, definisi masalah, penjanaan idea, pembinaan prototaip dan pengujian penyelesaian.
Seterusnya, para peserta didedahkan kepada teknologi Arduino dan potensi penggunaannya dalam penghasilan projek inovasi berasaskan STEM. Guru-guru diberikan latihan secara hands-on yang merangkumi pengenalan kepada komponen asas Arduino, penggunaan perisian pengaturcaraan, pemasangan litar elektronik serta pengaturcaraan mudah bagi menghasilkan prototaip yang boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, peserta turut diperkenalkan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat sokongan dalam menjana idea, menyelesaikan masalah dan mempercepatkan proses pembangunan projek inovasi.
Pelaksanaan bengkel ini bukan sahaja bertujuan melengkapkan guru dengan kemahiran teknikal berkaitan Arduino dan AI, malah menjadi platform pembangunan profesional dalam memperkasakan guru sebagai pemudah cara inovasi di sekolah. Melalui latihan intensif yang diberikan, para guru diharapkan dapat mengintegrasikan pendekatan pemikiran reka bentuk dan teknologi digital dalam amalan pengajaran mereka serta membimbing murid menghasilkan projek inovasi yang lebih kreatif, praktikal dan berimpak tinggi.


Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu aktiviti utama di bawah Geran Penyelidikan Transformasi Holistik 2026 yang memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti guru sebagai agen perubahan dalam memperkukuh budaya inovasi dan pendidikan STEM di sekolah. Dapatan daripada pelaksanaan bengkel ini akan digunakan sebagai sebahagian daripada proses penyelidikan bagi menilai keberkesanan pendekatan pemikiran reka bentuk berbantukan Arduino dan kecerdasan buatan terhadap pembangunan kemahiran inovasi dalam kalangan murid sekolah menengah.
Inisiatif ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan celik teknologi, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam memperkasa pendidikan STEM serta melahirkan modal insan yang berdaya saing pada era digital.
