oleh Nurulsaidah Abdul Rahim, Wan Rusmawati Wan Mahamod, Salam Supriatno
Tanjong Malim- Jabatan Kimia dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program ORGCHEM KIT pada 29 Jun 2026. Program ini dianjurkan khusus sebagai satu inisiatif untuk memperkasakan pelajar yang mengikuti kursus SKO3013 Kimia Organik Asas.
Secara umumnya, Kimia Organik sering dianggap sukar dan mencabar oleh sebahagian besar pelajar. Kesukaran ini sering dikaitkan dengan keperluan untuk visualisasi struktur 3D molekul, memahami dan mengingati mekanisme tindak balas kimia yang bersifat abstrak.
Menyedari hakikat ini. Jabatan Kimia, FSM mengambil langkah proaktif bagi memenuhi elemen pembelajaran abad ke-21 yang mengutamakan teknologi, kreativiti dan interaktif dalam pendidikan.



Program berlangsung bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Blok 1, FSM, Kampus Sultan Azlan Shah. Seramai 219 orang pelajar SKO3013 yang terdiri daripada pelbagai jurusan seperti Pendidikan Sains, Pendidikan FIzik, Pendidikan Matematik dan Pendidikan Teknologi Maklumat telah mengambil bahagian secara aktif.
Fokus utama Program ORGCHEM KIT adalah pembangunan alat bantu mengajar atau belajar yang membantu pemahaman konsep kimia organik yang kompleks.
Melalui program ini, pelajar diberi kebebasan untuk mereka bentuk dan membangunkan kit pembelajaran mereka sendiri melalui pendekatan hands-on dan kreatif.
Ini diharap membuka persepsi baharu di kalangan pelajar bahawa kimia organik tidak hanya berorientasikan hafalan semata-mata, namun ia boleh dipelajari dengan cara yang seronok, praktikal dan dinamik.



Program ini merupakan sebahagian daripada elemen penilaian kursus SKO3013 itu sendiri. Ia bertujuan mengukur tahap kompetensi pelajar secara menyeluruh dari segi kognitif dan juga afektif.
Sepanjang program berlangsung, pelajar dapat menajamkan kemahiran insaniah mereka antaranya memupuk semangat berpasukan, meningkatkan keberkesanan komunikasi antara rakan sekumpulan dan orang luar.
Program ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran-kemahiran lain seperti, kemahiran KBAT, kolaborasi dan juga penyelesaian masalah.
Secara keseluruhannya, penganjuran Program ORGCHEM KIT ini, bukan sahaja menjadi platform untuk memantapkan kefahaman kimia, tetapi juga bertindak sebagai asas dalam membina keyakinan diri pelajar untuk berkongsi idea dan berinovasi secara kreatif dan kritis.
Program ini juga mendapat kerjasama yang baik daripada pelajar dan pensyarah dalam memastikan usaha murni ini menjadi inspirasi dalam melahirkan graduan sains yang bukan sahaja mahir dalam teori, tetapi juga kreatif, berinovasi dan komunikatif.
