TANJONG MALIM, 14 JULAI 2026 — Majlis Watikah Pelantikan Campus Election Organization (CEO) sidang 2026/2027 telah diadakan di Dewan Kolej Za’ba , Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Majlis ini dihadiri oleh 50 orang, yang terdiri daripada ahli CEO.
Majlis ini dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang turut menyampaikan ucapan perasmian sekaligus merasmikan majlis, Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Puan Maskana Ahmad, Dekan Fakulti, Timbalan-timbalan Dekan Fakulti, Pengetua-pengetua Kolej Kediaman, serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Mahasiswa kolej-kolej kediaman UPSI.
Dalam ucapannya beliau menekankan kepentingan pendedahan demokrasi dalam kalangan mahasiswa UPSI. Beliau menaruh kepercayaan penuh kepada barisan CEO yang dilantik untuk menguruskan proses pemilihan pada November nanti dengan penuh integriti dan lancar. Selain memastikan perjalanan pilihan raya yang telus, aspirasi utama adalah untuk melihat penglibatan pelajar yang lebih menyeluruh serta mewujudkan suasana persaingan yang sihat demi masa depan kepimpinan universiti.
Salah satu inti pati penting dalam ucapan tersebut adalah seruan kepada pelajar agar sedar akan peranan mereka dalam menentukan kepimpinan kampus. Beliau menegaskan, “Tunaikanlah kewajipan masing-masing dan undilah sebagai tanggungjawab kita untuk memilih bakal-bakal pemimpin yang terbaik dalam kalangan yang terbaik”.

Petikan ini mencerminkan harapan agar setiap mahasiswa mengambil peluang ini untuk mengamalkan hak demokrasi mereka dengan penuh tanggungjawab demi melahirkan barisan MPP yang berkualiti.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan Penyerahan Watikah Pelantikan kepada ahli baru CEO. Sesi serah tugas diadakan, dimana Muhammad Filous Iman, mantan CEO sidang 2025/2026, menyerahkan tanggungjawab kepada Nur Annisa Aisyah, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya CEO sidang 2026/2027.
Annisa turut mengetuai bacaan ikrar daripada barisan ahli CEO yang baru dilantik.Ini menjadi tanda bahawa komitmen mereka untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Majlis Watikah Pelantikan ini bukan sekadar menandakan permulaan sesi kepimpinan baharu, malah menjadi simbol komitmen Campus Election Organization dalam meneruskan kecemerlangan organisasi melalui penghayatan nilai kepimpinan, keadilan, integriti dan amanah. Diharapkan barisan kepimpinan CEO Sidang 2026/2027 akan terus memainkan peranan yang proaktif dalam memperkukuh sistem demokrasi kampus serta menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.

Dengan berakhirnya majlis ini, seluruh warga CEO sidang 2026/2027 diharapkan dapat menggalas amanah yang diberikan dengan penuh komitmen dan dedikasi, seterusnya bersama-sama menyokong aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk terus menjadi sebuah universiti yang unggul, cemerlang dan berdaya saing.
