Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPSI) bersama Dr. Abu Zarrin bin Selamat selaku Pengerusi Timbalan Hal Ehwal Pelajar (TDHEPA)Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPSI) bersama Dr. Abu Zarrin bin Selamat selaku Pengerusi Timbalan Hal Ehwal Pelajar (TDHEPA)

oleh Nur Syazwana Che Ghani

Tanjong Malim, 11 Julai 2026 – Ketika sebahagian besar mahasiswa sedang bergelut menghadapi musim peperiksaan akhir, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2025/2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil membawa sinar harapan menerusi penganjuran program Titian Kasih MPP: Ukhwah Menyantuni Insan, sebuah inisiatif kebajikan yang membuktikan bahawa kepimpinan mahasiswa bukan sekadar memperjuangkan suara pelajar, malah hadir menyantuni mereka.

Program yang berlangsung pada 10 dan 11 Julai itu menyaksikan 400 bungkus burger diagihkan kepada mahasiswa UPSI di lokasi tumpuan pelajar mengulang kaji, termasuk Perpustakaan Tuanku Bainun dan Bitarasiswa yang merupakan ruang pembelajaran sekitar kampus.

Agihan yang dilaksanakan bermula 9.00 malam hingga 11.00 malam itu bertujuan memastikan mahasiswa yang tekun membuat persiapan menghadapi peperiksaan mempunyai akses kepada makanan tanpa perlu meninggalkan lokasi pembelajaran, sekali gus membantu mereka mengekalkan fokus dan momentum sepanjang musim peperiksaan.

MPP UPSI menyantuni dan memberi burger percuma kepada pelajar UPSI
MPP UPSI menyantuni dan memberi burger percuma kepada pelajar UPSI
MPP UPSI bersama pelajar-pelajar UPSI di Bitarasiswa

Lebih daripada sekadar pengagihan makanan, program ini membawa mesej bahawa setiap mahasiswa berhak merasai sokongan, perhatian dan kasih sayang daripada komuniti kampus, terutama ketika berhadapan tekanan akademik serta peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Sidang 2025/2026, Muhammad Luqman Nurhakim, berkata inisiatif berkenaan lahir daripada kesedaran bahawa kebajikan mahasiswa perlu menjadi agenda utama dalam memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara.

“Musim peperiksaan menguji bukan sahaja ilmu, tetapi juga ketabahan. Mungkin apa yang kami hulurkan hari ini tidak besar nilainya, namun kami berharap ia mampu menyampaikan satu mesej yang lebih besar, bahawa setiap mahasiswa di UPSI tidak pernah bersendirian. Selagi ada ruang untuk menyantuni, MPP akan terus hadir sebagai sahabat yang berjalan bersama mahasiswa, bukan sekadar ketika mereka berjaya, tetapi juga ketika mereka sedang berjuang.” katanya.

Pelaksanaan program tersebut turut mendapat sokongan daripada Majlis Timbalan Dekan (Hal Pelajar dan Alumni) dan penyumbang luar yang bersama-sama menjayakan usaha memperkukuh jaringan kebajikan mahasiswa UPSI.

Melalui inisiatif ini, MPP UPSI sekali lagi membuktikan peranannya sebagai kepimpinan pelajar yang bukan sahaja mengangkat suara mahasiswa, malah menterjemahkannya kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung. Komitmen berterusan ini mencerminkan usaha MPP UPSI dalam memperkukuh budaya kampus yang lebih prihatin, inklusif dan berteraskan kesejahteraan mahasiswa.