Oleh: Muhammad Daniel Rosmizan, Marsheilla Simmoi Macus & Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail

TANJONG MALIM, 17 Jun 2026 — Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) hari ini menjadi tumpuan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) khususnya aktivis Persatuan Geografi menerusi penganjuran “Geonviro Month 2.0”, anjuran Persatuan Geografi (PERGEO). Program ini diadakan sempena Bulan Geografi dan Alam Sekitar bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan amalan pembangunan lestari.

Program yang berlangsung bermula daripada 14 Mei 2026 hingga 17 Jun 2026 ini bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai isu alam sekitar semasa di peringkat global mahupun tempatan. Selain itu, program ini turut berperanan membangunkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Ucapan perasmian oleh perasmi 
Sesi perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Kamarul
Gambar ahli jawatankuasa 

Sepanjang tempoh penganjurannya, Geonviro Month 2.0 telah menghimpunkan 13 subprogram menarik seperti Geoconnect Campus To Campus: World Water Day Initiative, Pergeo X Unnes Tree Initiative, Geonviro : Lensa Hijau, Merakam Suara Alam, Menginspirasi Perubahan, Ecovision Poster Challenge, Pulse Of Humanity: Blood Donation Campaign, Sayembara Sajak Geografi Dan Alam Sekitar, Forum Kepimpinan Mahasiswa & Belia: Membina Masa Hadapan Malaysia, Unity Outreach : Homeless And Urban Poor, Geo-Pace: Geography Physical And Academic Expedition,  Geobattle: Satu Dunia, Seribu Pengetahuan, Chillescape Night, Citra Budaya Negeri, dan Bizztalk: Inter-Uni Entrepreneurship. Kepelbagaian aktiviti ini berjaya menarik penyertaan mahasiswa UPSI dan peserta luar serta memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada peserta.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Kamarul bin Ismail, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Perkomersilan, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam usaha memelihara alam sekitar dan mengamalkan pembangunan lestari. Kehadiran beliau telah menyerikan majlis serta memberikan motivasi kepada para peserta untuk terus peka terhadap isu-isu alam sekitar semasa.

Antara pengisian utama majlis ialah sesi perkongsian ilmu bersama Prof. Madya Dr. Kamarul bin Ismail, tayangan video montaj sepanjang pelaksanaan Geonviro Month 2.0, persembahan sajak oleh pemenang pertandingan serta sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dan penghargaan kepada semua pengarah program yang terlibat.

Program ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), SDG 15 (Kehidupan di Darat) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat). Melalui pendekatan pendidikan dan aktiviti berasaskan pengalaman, peserta didedahkan kepada kepentingan memelihara alam sekitar serta mengamalkan gaya hidup lestari dalam kehidupan seharian.

Persembahan sajak oleh pemenang                       
Penyampaian hadiah kepada pemenang

Program Geonviro Month 2.0 bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan mahasiswa, malah berjaya melahirkan generasi yang lebih peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap isu-isu kelestarian. Program ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara mahasiswa melalui aktiviti yang menekankan kerjasama, komunikasi dan kepimpinan.

Secara keseluruhannya, Geonviro Month 2.0 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam membudayakan kesedaran alam sekitar serta memperkasakan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan ke arah pembangunan yang lebih lestari. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat kampus yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sejagat.