Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Ali Zainal Abidin Lokman
SINTOK, 17 Julai 2026 – Pelari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fatin Ilyana Mat Nayan, membuktikan kehebatannya sebagai antara pelari pecut wanita terbaik negara selepas menjuarai acara 100 meter wanita terbuka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kedah Ke-68 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Fatin mempamerkan larian bertenaga untuk melintasi garisan penamat dengan catatan 12.03 saat, sekali gus menewaskan rakan sepasukannya, Nur Izzati Eliana Suhaidi, yang meraih pingat perak dengan catatan 12.25 saat.
Pingat gangsa pula menjadi milik Nor Anis Maisarah Mohamad Noor selepas merekodkan masa 12.61 saat.
Kemenangan itu turut menyerlahkan penguasaan UPSI dalam acara pecut wanita apabila ketiga-tiga atletnya berjaya mengisi tiga kedudukan terbaik pada aksi final.
Fatin bagaimanapun terlepas peluang untuk memecahkan rekod kejohanan apabila catatannya hanya 0.06 saat di belakang rekod 11.97 saat yang dilakukan Zaidatul Husniah Zulkifli pada edisi 2014.
Kejohanan ini turut menjadi medan penting buat Fatin dan barisan olahraga UPSI menilai tahap kecergasan, teknik serta konsistensi larian sebagai persiapan menghadapi Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).
Dalam tempoh persiapan seterusnya, tumpuan dijangka diberikan kepada aspek pelepasan di blok permulaan, pecutan awal dan pengekalan kelajuan bagi memastikan prestasi yang lebih mantap dapat dipamerkan pada temasya berkenaan.
Prestasi cemerlang Fatin dijangka meningkatkan keyakinannya menjelang saingan yang lebih mencabar dalam baki musim olahraga 2026, selain mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek utama negara dalam acara pecut wanita.
