TRX, Kuala Lumpur, 29 Julai 2026 – AFFIN Islamic Bank Berhad dengan kerjasama Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Tentera Darat dan Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan program “Cakna Terapi, Cakna Perkembangan: Memahami Keperluan Kanak-Kanak Istimewa dan Keluarga” yang berlangsung di Menara AFFIN @ TRX, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Program ini menghimpunkan ibu bapa, keluarga warga tentera, profesional kesihatan, ahli akademik dan pelbagai agensi bagi berkongsi ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam menyokong perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Mewakili Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ucapan telah disampaikan oleh Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Nor. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sinergi antara universiti, sektor korporat dan organisasi komuniti merupakan pendekatan terbaik dalam membina ekosistem sokongan yang mampan kepada individu OKU dan keluarga mereka.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AFFIN Islamic Bank, BAKAT Tentera Darat, Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia serta semua rakan strategik atas komitmen mereka dalam memperkasakan agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak langsung kepada komuniti, khususnya keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Sepanjang program, peserta mengikuti siri perkongsian oleh pakar pelbagai disiplin meliputi aspek perkembangan kanak-kanak, terapi, pemakanan, kesihatan, pendidikan inklusif serta sokongan psikososial kepada keluarga. Sesi konsultasi bersama pakar turut diadakan bagi membolehkan ibu bapa mendapatkan panduan secara langsung mengikut keperluan anak masing-masing.

Bersempena program ini juga telah berlangsung Majlis Pertukaran Letter of Intent (LoI) antara AFFIN Islamic Bank Berhad dan CIRCLE UPSI sebagai simbol komitmen kedua-dua organisasi untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam tempoh tiga tahun akan datang. LoI tersebut merangkumi pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama dalam bidang penyelidikan, pembangunan komuniti, latihan profesional, program intervensi awal, pemerkasaan keluarga, pendidikan inklusif serta pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi impak berterusan kepada komuniti, khususnya individu berkeperluan khas dan keluarga mereka.

Pengarah CIRCLE UPSI, Dr. Hasrul Hosshan, berkata program ini merupakan permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih menyeluruh antara AFFIN Islamic, BAKAT dan CIRCLE dalam memperkukuhkan ekosistem sokongan kepada keluarga anak istimewa.

“Intervensi awal yang berkesan memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Melalui gabungan kepakaran akademik CIRCLE UPSI, sokongan komuniti BAKAT dan komitmen AFFIN Islamic terhadap pembangunan sosial, kita dapat membina ekosistem yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi kepada keluarga serta anak-anak berkeperluan khas.”

Beliau turut memaklumkan bahawa program ini akan diteruskan melalui Klinik Konsultasi Keluarga selama tiga bulan yang dikendalikan oleh pakar-pakar CIRCLE UPSI dengan sokongan AFFIN Islamic dan kerjasama BAKAT. Inisiatif ini bertujuan membantu keluarga membangunkan pelan intervensi yang lebih sistematik dan bersesuaian dengan keperluan perkembangan anak.

Program ini turut disokong melalui pembukaan Reruai Saringan Audiologi hasil kerjasama Program Audiologi, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian bersama CIRCLE UPSI dan AFFIN Islamic Bank. Reruai ini menyediakan saringan pendengaran serta khidmat nasihat kepada peserta sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak.

Penganjuran program ini turut menerima sokongan daripada Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia yang telah menyumbangkan 200 pek makanan kepada para peserta. Sumbangan tersebut bukan sahaja menceriakan kehadiran keluarga dan peserta sepanjang program, malah mencerminkan komitmen RMHC dalam menyokong inisiatif kebajikan serta kesejahteraan komuniti, khususnya keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan agenda keterangkuman negara serta memperluaskan akses kepada intervensi awal berkualiti, sekali gus meningkatkan kesejahteraan keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Melalui pemeteraian LoI ini, AFFIN Islamic Bank dan CIRCLE UPSI menyasarkan pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi sepanjang tempoh 2026–2029, termasuk penyelidikan translasi, pembangunan kapasiti profesional, program pemerkasaan komuniti, sokongan kepada keluarga anak berkeperluan khas, pembangunan modul latihan, serta inisiatif ESG yang menyokong agenda keterangkuman dan kesejahteraan sosial negara.

Program ini diharapkan menjadi model kerjasama antara universiti, industri dan komuniti dalam membangunkan ekosistem penjagaan serta sokongan yang inklusif, berasaskan bukti penyelidikan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.