Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri
Emiriah Arab Bersatu, 21 November 2024- GESS Education Awards merupakan sebuah anugerah yang memberi pengiktirafan kepada kualiti dan kepelbagaian produk, sumber, perkhidmatan, serta individu dalam bidang pendidikan, termasuk institusi dan tenaga pengajar terbaik.
Tahun ini merupakan tahun ke sebelas penganjuran anugerah yang telah diadakan pada 13 November 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Anugerah ini dianjurkan oleh Informa Connect iaitu sebahagian daripada kumpulan global Informa, yang berpengkalan di England, peneraju dalam penganjuran acara, persidangan, dan platform pembelajaran berkualiti untuk pelbagai industri.


Pensyarah kanan Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ts Dr Chee Ken Nee telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Innovation in Education Award bagi GESS Education Awards 2024.
Antara pemenang lain bagi GESS Education Award ialah Quizziz Inc bagi kategori Best Digital Educational Resource or Product, Oracle Academy bagi Higher Education Resource or Equipment Supplier of the Year dan Oxford International Curriculum for Sustainability dan Oxford University Press untuk Best Sustainable or Eco-Friendly Product.
Selain itu, penerima anugerah Best Use of Digital Learning in the Classroom ialah Hull College, England. Manakala, Gavin McCormack, pengasas upschool.co iaitu platform atas talian untuk pengajaran yang berpusat di Australia telah menerima Outstanding Contribution in Education Award.
Tahun 2024 merupakan tahun bertuah bagi Ts Dr Chee kerana bukan sahaja memenangi anugerah ini, malah inovasi beliau, VIRTT (Virtual Reality Teacher Training) akan berada di pentas akhir QS Reimagine Education Award yang akan berlangsung di London pada Disember selain telah menjadi peserta akhir bagi Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI2024).
Semoga lebih ramai pensyarah UPSI dengan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi yang akan terus diiktiraf dan dijulang sebagai peneraju kecemerlangan akademia di peringkat antarabangsa.
