Oleh: Firdausiah Ahamad

Tanjong Malim, 14 Disember 2024 – Saban hari kita sering mendengar bahawa golongan anak muda lebih meminati gajet dan tidak lagi berminat dengan buku. Namun, penganjuran Pesta Buku Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Perpustakaan Tuanku Bainun dan Pejabat Karang Mengarang terus menjadikan Pesta Buku tetap relevan dan menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh warga UPSI khususnya malah kepada masyarakat setempat di daerah Muallim.

Pada tahun ini, acara pesta buku mencatat hampir 10,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti di pentas utama yang dapat membugarkan budaya membaca dikalangan anak muda masa kini.

Ini jelas menunjukkan naratif anak muda tidak lagi berminat dengan buku, ternyata tidak benar kerana rata-rata pengunjung adalah golongan muda.  
 
Penganjuran Pesta Buku di UPSI bermula pada tahun 2005 dan menjadi acara tahunan hingga kini adalah untuk menyemarakkan aktiviti perbukuan serta meneruskan legasi Sultan Idris Training College(SITC) yang terkenal dalam melahirkan para pejuang bahasa sehingga wujudnya entiti penerbitan iaitu Penerbit UPSI atau Pejabat Karang Mengarang.

Di bumi Muallim ini wujudnya sebuah institusi bersejarah sejak 1922 iaitu SITC tempat bermulanya tulis baca, bentuk nahu kata, bertapaknya para pendeta dan disini jugalah terzahirnya kemerdekaan nusa bangsa.

Justeru itu, UPSI harus menyambung legasi ini sebagai gedung perbukuan kerana roh penerbitan sastera dan penulisan kreatif sudah sebati di Tanjong Malim ini lebih 100 tahun lamanya.

Buku adalah jendela kehidupan. Kalimat ini merupakan antara ungkapan yang kita sering dengari. Dengan buku, ilmunya mengubah dunia, betapa ia menggambarkan budaya membaca.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, “Untuk mengubah sesebuah bangsa, ianya harus dimulakan dengan mengubah minda. Untuk mengubah minda, ianya harus tercetus dari tulis dan baca”.

Malahan buku teks sekolah melayu pertama adalah bermula di SITC yang berjaya mengubah nasib manusia.

Justeru universiti bukan sahaja berperanan untuk melahirkan graduan holistik dan berkeupayaan tinggi, namun perlu untuk menyuntik serta menjentik jiwa manusia agar ada rasa kasih dan sayang kepada ilmu melalui membaca.

Meskipun teknologi telah mengubah kehidupan manusia dan buku digital sudah mula menjadi pilihan pembaca, namun hakikatnya ia dilihat masih tidak dapat menggantikan buku yang dicetak atas helaian kertas.

Untuk membaca buku digital kita perlu memuat turun aplikasi berkaitan sebelum dapat melayari atau membaca buku tersebut, namun buku fizikal kita terus dapat memegang dan membacanya menjadikan satu kepuasan.

Tambahan pula bau pada setiap helaian kertas menjadi satu candu kepada pembaca. Kepelbagaian sumber bahan bacaan ini membolehkan kita menghayati serta mengamalkan apa yang dituntut dalam kehidupan seharian. Dan tiada lagi alasan untuk tidak membaca.

Semua maklum ramai orang berpusu-pusu mengunjungi pesta buku setiap kali diadakan. Oleh itu, perpustakaan perlu memberi tumpuan kepada perancangan pengisian yang lebih proaktif terutamanya dalam membudayakan ilmu serta pembelajaran sepanjang hayat.

Lihat sahaja dengan penganjuran pesta buku kini sudah berubah dengan pelbagai cara bagi menarik perhatian pengunjung.

Salah satunya adalah dengan membawa pelbagai nama besar seperti menteri, artis-artis popular, pempengaruh media sosial dan penulis buku terkenal untuk memastikan pesta buku sentiasa hidup serta memberi manfaat kepada semua.

Selain pengunjung dapat membuat pemilihan buku, pesta buku memberikan peluang pengunjung bertemu penulis kegemaran secara bersemuka.

Sekaligus menarik minat pengunjung ke perpustakaan dan menjadikan perpustakaan sebagai hab tumpuan ramai dan sebahagian hidup mereka.

Justeru, perancangan aktiviti ini perlu diserap masuk ke dalam pelan strategik perpustakaan agar dapat mengekalkan keterlihatan perpustakaan. Namun pastinya pelaksanaan ini tidak akan sempurna tanpa ada kelulusan peruntukan daripada pengurusan universiti.

Jelas, pesta buku bukan semata-mata untuk melihat kepada hasil penjualan tetapi yang paling penting adalah membudayakan ilmu dalam memartabatkan pendidikan selaras dengan nilai-nilai teras Malaysia Madani yang menekankan kepada perpaduan dan peningkatan mutu hidup rakyat demi menata masa hadapan dengan berlandaskan pemerkasaan budaya ilmu.