Oleh: Siti Hartini Azmi

Ipoh, 16 November 2024 – Program Pemindahan Ilmu Latihan Kemahiran Psikologi Sukan telah berlangsung dengan jayanya oleh para pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan UPSI yang bertempat di SMK Gunung Rapat.

Program ini melibatkan 35 orang atlet sekolah SMK Gunung Rapat, SMK Anderson, SMK Raja Perempuan, guru sukan, jurulatih dan juga pegawai daripada Majlis Sukan Negeri Perak.

Latihan kemahiran psikologi ini memberi tumpuan utama terhadap aspek meningkatkan kekuatan mental serta pengetahuan Sains Sukan dan kejurulatihan di kalangan pegawai sukan, jurulatih dan juga atlet.

Pengisian program telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr Nelfianty Mohd Rasyid, Dr Norsilawati Abdul Razak, Dr Mon Redee Sut Txi dan Dr Siti Hartini Azmi.

Manakala tajuk yang disampaikan ialah Goal Setting, Breathing Exercise dan Self Talk. Program ini bukan sahaja disampaikan dalam bentuk ceramah tetapi turut di jalankan dalam pelbagai aktiviti secara individu dan juga berkumpulan.

Program Pemindahan Ilmu Latihan Kemahiran Psikologi ini dengan kerjasama Research Management and Innovation Centre (RMIC) UPSI di jalankan khusus untuk pegawai sukan, jurulatih dan atlet ini merupakan salah satu kursus untuk menyediakan suatu siri pengenalan latihan kemahiran psikologi sukan yang selaras dan sistematik dari segi aspek dan tuntutan dalam bidang Sains Sukan dan Kejurulatihan.

Melalui program ini, dapat menyediakan platform perkongsian serta kemahiran terkini bersama peserta dalam meningkatkan kualiti hidup dari aspek pendidikan dan kesihatan mental dan fizikal yang berasaskan kepada Program Pemindahan Ilmu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Atlet Ragbi SMK Anderson, Muhammad Zulhilmi Abdullah menyatakan yang program ini adalah pendedahan awal buat dirinya untuk mengenali ilmu psikologi dan dapat berharap dapat di aplikasikan seterusnya membantu beliau semasa menghadapi pertandingan pada masa akan datang.

Maklum balas positif juga diterima daripada guru, jurulatih dan pegawai sukan yang menunjukkan impak program.

Kejayaan Program Latihan Kemahiran Psikologi Sukan telah menarik minat semua pihak dan Majlis Sukan Negeri Perak juga turut menunjukkan minat untuk meneruskan kerjasama di masa akan datang dengan menambahkan lagi aktiviti dan topik dalam bidang Psikologi Sukan.

Diharapkan agar program seperti ini, dapat membantu menyumbang kepada kejayaan-kejayaan atlet dan membuka peluang yang lebih luas untuk kerjasama daripada pelbagai pihak di masa akan datang.