Peluncuran Buku Diari Keibubapaan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar hasil kerjasama NCDRC dan PKM
Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
TANJUNG MALIM, 4 Disember 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah bermakna apabila Perasmian Sambutan Hari Kanak-kanak 2024 dengan gabungan acara unik dan penuh inspirasi sempena Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi Disember 2024 di Dewan Tuanku Canselor.
Bertemakan “Listen to the Future” (Dengarkan Masa Depan Kami), sambutan ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, yang menekankan peri pentingnya menghargai suara kanak-kanak sebagai pelapis masa depan negara.
Majlis dimulakan dengan detik yang penuh semangat apabila sepuluh kanak-kanak dari SK Proton City tampil membaca ikrar, membawa mesej harapan kepada masa depan pendidikan yang lestari. Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Prof Madya Dr. Mazlina Mustafa menggemakan dewan dengan ucapan aluannya. Beliau menyatakan hasrat untuk semua pihak menggembleng tenaga untuk mendidik generasi yang bakal menjadi peneraju masa depan negara.
Acara ini turut menyaksikan peluncuran Buku Diari Keibubapaan, sebuah panduan menyeluruh untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak di era digital. Buku ini mengandungi tip dan panduan praktikal untuk memupuk nilai positif serta mengurus kehidupan keluarga dengan lebih harmoni.
Prof. Dr. Suriani dalam ucapannya menyatakan, “Kami percaya pendidikan bermula dari rumah. Buku ini adalah langkah awal kami untuk membantu ibu bapa memahami peranan mereka sebagai pendidik pertama dan utama dalam kehidupan anak-anak.”
Menurutnya lagi, “Hari Kanak-kanak adalah peluang untuk mendengar aspirasi generasi muda dan memperkasakan mereka dengan sokongan yang diperlukan. UPSI terus komited untuk menjadi pemimpin dalam memastikan kanak-kanak kita mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan
masa depan yang cerah.”
Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Program “Perfect Brew” oleh Bank Rakyat yang menawarkan 300 cawan kopi percuma kepada hadirin. Selain itu, kemudahan pembukaan akaun Tabung Haji sebagai galakan kepada ibu bapa memulakan simpanan anak-anak. Antara yang menarik adalah Persembahan ceria oleh kanak-kanak NCDRC dan Muallim Voices, yang membawa mesej kegembiraan dan keharmonian.

Seterusnya, majlis dimeriahkan lagi dengan Forum keibubapaan “Positive Parenting, Santai Tapi Sampai” yang memberikan input berharga kepada hadirin mengenai keibubapaan moden.
Acara ini turut mendapat sokongan padu daripada Tabung Haji dan Bank Rakyat, menonjolkan sinergi antara pendidikan, komuniti, dan sektor kewangan.

Dengan sambutan yang penuh warna-warni ini, UPSI sekali lagi membuktikan peranannya sebagai institusi yang tidak hanya cemerlang dalam pendidikan tetapi juga dalam menyemai nilai-nilai murni ke dalam generasi pelapis bangsa. Majlis berakhir dengan suasana penuh keakraban, membawa mesej jelas bahawa setiap suara kanak-kanak perlu dihargai dan didengari. Sambutan ini menjadi satu lagi langkah penting UPSI dalam merealisasikan visi untuk membentuk dunia yang lebih baik melalui pendidikan dan pembangunan kanak-kanak.
