Tanjong Malim – Barisan Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (PIBG SKTM) telah sepakat melaksanakan Pertandingan Boling Amal SKTM 2024 yang telah diadakan di UPSI Sportbowl, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris baru-baru ini.
Program ini julung kali diadakan di peringkat sekolah yang melibatkan komuniti di bawah kepimpinan PIBG SKTM. Matlamatnya tidak lain tidak bukan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa, ibu bapa dan komuniti setempat.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang DiPertua PIBG SKTM, Mohd Sani bin Harun. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga kerana dapat melaksanakan aktiviti yang sebegini dan turut memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di peringkat komuniti selain aktiviti bermain boling. “Saya sangat berbesar hati kerana selain penyertaan peserta, program ini juga mendapat dana dan tajaan hadiah daripada pelbagai pihak”, katanya.

Guru Besar SKTM, Abu Yazid bin Jaafar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan PIBG SKTM kerana tidak putus-putus menyokong aktiviti sekolah dan sentiasa berusaha untuk mencari sumber kewangan selain daripada sumbangan tahunan ibu bapa. “Saya yakin melalui aktiviti ini, hubungan dan kasih sayang ibu bapa kepada sekolah akan terus meningkat” katanya.

Pengarah Program, Mohd Raizol bin Ramli berkata “Program ini telah berjaya menarik seramai 62 orang peserta bagi menyertai pertandingan boling. Semua peserta juga telah bersetuju untuk menyumbang 20% atau RM 10.00 daripada yuran yang telah dibayar oleh mereka. Peserta yang berjaya telah membawa pulang hadiah berupa trofi, medal dan hamper manakala hadiah utama cabutan bertuah ialah sebuah mesin cetak bernilai RM 529.00”, ujar beliau.

Salah seorang peserta, Fatin Farhana binti Kamaruddin berasa teruja kerana dapat berkumpul sebagai sebuah keluarga sambil meluangkan masa dengan aktivti sukan serta berkenalan antara satu sama lain. “Program ini sangat meriah kerana kami bukan sahaja dapat menderma malah turut menerima cenderahati pendaftaran dan cabutan bertuah”, katanya.

