Oleh: Maznah Othman
Tanjong Malim, 23 Oktober 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyokong usaha meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan sisa elektronik (e-Waste) melalui Forum ‘Malaysia ESG e-Waste Contribution 2024: From Trash to Tech’, anjuran ESG Malaysia, TM Enviro Industries Sdn Bhd, TNT Communications Sdn Bhd dan HP Malaysia di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.
Forum ini menyediakan platform kepada masyarakat dan syarikat untuk melupuskan e-Waste seperti komputer dan telefon pintar secara bertanggungjawab, sekaligus mempromosikan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus Korporat (ESG).
Forum ini juga dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan syarikat mengenai peranan dalam pembangunan lestari dan pemeliharaan alam sekitar dengan memberi pemahaman secara mendalam tentang kepentingan mengintegrasikan amalan pelestarian dalam operasi perniagaan mereka untuk menyumbang secara positif kepada pembangunan dan kemajuan alam sekitar.
Selain itu, forum ini akan memberi pendidikan yang komprehensif mengenai konsep e-Waste dengan memberi penekanan mengenai kesan terhadap alam sekitar akibat daripada pelupusan yang tidak mengikut prosedur.
Program ini menekankan pentingnya prinsip ESG dalam menangani cabaran dan menggalakkan kelestarian serta jejak karbon rendah.
Sebagai pengiktirafan atas sumbangan UPSI dalam pengurusan e-Waste, Ketua Pegawai Digital (CDO), Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Pusat ICT) UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad telah menerima Certificate of Recognition, yang diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha universiti dalam melupuskan 6.73 metrik tan e-Waste secara bertanggungjawab.

Langkah ini turut membantu mengelakkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 7,201.10 kgCO₂e. Penghargaan ini disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Pn Fenny Wong Nguk Yin.
Ini mencerminkan usaha berterusan UPSI dalam mengurangkan pelepasan karbon dan memupuk kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar.
Ia juga merupakan galakan kepada sektor lain untuk mengambil langkah yang serupa dalam menjaga alam sekitar dan menjamin pembangunan lestari merentas industri.
