Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 18 Disember 2024 – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts Mustapha Sakmud, hari ini mengadakan lawatan kerja ke Kem Bina Insan Bitara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang melibatkan mahasiswa bagi program Teaching English as a Second Language (TESL) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).

Lawatan yang berlangsung di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu turut diiringi oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, serta beberapa pegawai kanan universiti.

Program ini bertujuan memupuk semangat jati diri, kepimpinan, dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar TESL sebagai persediaan mereka menjadi pendidik cemerlang pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts Mustapha Sakmud bersama Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff serta pengurusan tertinggi UPSI bergambar bersama peserta Kem Bina Insan Bitara di UPSI Adventure Park

Menurut Datuk Ts Mustapha, Kem Bina Insan Bitara adalah platform yang baik untuk mengintegrasikan elemen pembentukan sahsiah dalam pembangunan akademik pelajar.

“Kem ini bukan sahaja mengukuhkan jati diri pelajar tetapi juga mempersiapkan mereka dengan kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam dunia pendidikan moden.

“Saya amat bangga dengan usaha UPSI dalam memastikan pelajar dilengkapkan dengan pengalaman pembelajaran holistik.

Tambah beliau, pelajar yang mengikuti program seperti ini akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran kerjaya sebagai pendidik.

“Saya percaya bahawa pendekatan UPSI dalam membangunkan keperibadian pelajar melalui aktiviti seperti ini akan memberikan kesan positif kepada pembangunan modal insan negara,” kata beliau.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts Mustapha Sakmud menyampaikan pesanan kepada mahasiswa bagi program Teaching English as a Second Language (TESL) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI, sewaktu hadir melawat ke UPSI Adventure Park.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff  menegaskan komitmen universiti untuk terus menganjurkan program seumpama ini sebagai sebahagian daripada aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berintegriti dan berkeperibadian unggul.

“Kami di UPSI percaya bahawa pelajar perlu dididik secara holistik. Kem ini adalah salah satu usaha kami untuk memastikan mereka tidak hanya bersedia dari segi ilmu, tetapi juga memiliki nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.

Md Amin juga menyatakan bahawa program seperti ini adalah selaras dengan matlamat UPSI untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang menerajui pembentukan pendidik berkualiti.

“Melalui program ini, kita dapat menanamkan nilai kepimpinan, tanggungjawab, dan kesedaran sosial yang tinggi dalam kalangan pelajar, yang seterusnya akan memberikan impak besar kepada masyarakat apabila mereka mula berkhidmat sebagai guru nanti,” tambahnya lagi.

Jelasnya, Kem Bina Insan Bitara UPSI itu melibatkan pelbagai aktiviti, termasuk latihan kepimpinan, ceramah motivasi, eksplorasi alam semula jadi, dan sesi pengucapan awam.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts Mustapha Sakmud (tengah) bersama barisan pengurusan UPSI ketika melawat ke UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

“Aktiviti-aktiviti ini direka khusus untuk memperkasakan pelajar dengan kemahiran komunikasi dan kecekapan kepimpinan, sejajar dengan keperluan kerjaya sebagai pendidik Bahasa Inggeris pada masa hadapan.

“Program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai salah satu langkah untuk memperkukuhkan misi UPSI dalam melahirkan pendidik bitara di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) FBK UPSI, Dr. Mohd Amir Mohd Zahari