Oleh : Ts Dr Megat Azrin Ahmad
TANJUNG MALIM, 29 Oktober 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi lokasi pertama pelancaran HP Intel AI Roving Truck oleh Syarikat Hawlett Packard Malaysia yang telah dilancarkan bersempena Mesyuarat Majlis Pengarah-Pengarah ICT IPTA (MAPITA).
Pelancaran tersebut yang disempurnakan oleh pengerusi MAPITA, En. Nik Kamal Izuddin Nik Ibrahim sebelum berlangsung Mesyuarat MAPITA yang dihoskan oleh UPSI.
Turut hadir bersama ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat Kementerian Pengajian Tinggi Pn Harlina Othman dan semua pengarah ICT Universiti Awam.
Menurut ketua pemasaran perniagaan sektor awam HP Malaysia, En Mohd Ghazali Isa, UPSI menjadi destinasi pertama pelancaran HP Intel AI Roving Truck dan menyatakan program akan diperluaskan kepada sekurang-kurangnya empat (4) lagi buah Universiti Awam selepas ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts Dr Megat Azrin Ahmad menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh HP terutamanya dalam usaha untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan teknologi AI dan ianya boleh diperluaskan juga kepada institusi pendidikan lain seperti sekolah dalam usaha meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar.
Ini secara tidak langsung mengubah cara pembelajaran dan meningkatkan pengalaman pembelajaran secara keseluruhan untuk menjadikan pembelajaran lebih efektif dan menarik.
Dengannya pelajar juga dapat menyemai kemahiran baharu terutamanya dalam mendepani dunia AI yang penuh cabaran.
Program ini juga dapat memperkasa peserta untuk berinovasi dan menggunakan AI dalam persekitaran pembelajaran. Ini dilaksanakan menerusi sesi pembelajaran kepada pelajar dan staf menerusi HP AI Masterclass yang melibatkan aktiviti pembelajaran berkaitan AI.
Antara aktiviti lain yang dilaksanakan ialah HP AI Virtual Master, AI Photobooth dan AI Gamification.
Menerusi AI Photobooth, peserta diberi pendedahan mencipta dan memuat turun versi AI untuk kegunaan peserta di media sosial.
Peserta program juga berpeluang untuk menggunakan teknik pembelajaran mesin untuk mengubah atau menukar wajah dalam foto atau video menerusi AI Gamification.
